Mendiang Mutang selamat dikebumikan di Fairy Park Miri Memorial

Mutang meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada Jumaat.
Mutang meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada Jumaat.
A
A
A

MIRI- Jasad mendiang Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal selamat dikebumikan di Fairy Park Miri Memorial, 33 km dari sini pada Isnin.

Majlis pengebumian itu dihadiri hampir 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan, kenalan dan orang awam.

Terdahulu, jasad telah dibawa dari Gereja BEM, Jalan Airport Miri ke Gereja BEM Canada Hill di sini pada jam 10.30 pagi tadi bagi upacara sembahyang.

Upacara itu turut dihadiri Duta Besar Republik Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen & Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala serta isterinya, Datin Esther Balan.

Dalam sesi eulogi, ahli-ahli keluarga memberi ucapan penghargaan dan penghormatan kepada mendiang atas jasanya kepada mereka.

Rakaman video sepanjang tempoh mendiang berkhidmat sebagai Speaker Dewan Negara sejak dilantik Februari lepas turut ditayangkan.

Jasad mendiang kemudian dibawa dan tiba di tanah perkuburan Fairy Park Miri Memorial untuk pengebumian pada jam 2.06 petang.

Mengiringi keranda mendiang ialah isterinya, Datin Ho May Leng dan ketiga-tiga anaknya iaitu Rining Tagal, Saran Tagal dan Bian Tagal, bapa mendiang Tagal Paran serta ahli keluarga yang lain. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!