Kegembiraan empat sekawan berkelah di Lata Bayu bertukar tragedi

Usaha membawa turun agak sukar memandangkan lokasi kejadian yang agak jauh dari pintu masuk utama perkelahan tersebut.
Usaha membawa turun agak sukar memandangkan lokasi kejadian yang agak jauh dari pintu masuk utama perkelahan tersebut.
A
A
A

BALING - Kegembiraan empat sekawan berkelah di pusat rekreasi terkenal Lata Bayu di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya lemas dalam kejadian pada Ahad.

Bapa mangsa, Zuraidi Yaacob, 56, dari Kampung Bakong Asam Jawa di sini berkata, tragedi yang berlaku sangat mengejutkan, namun reda dengan kehilangan Muhammad Luqman, 27.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang menyelam untuk mencari ikan ketika berkelah bersama rakan lain di pusat perkelahan tersebut.

"Mereka keluar berkelah pada jam 11 pagi namun pada jam 9 malam, salah seorang rakan telah datang ke rumah memberitahu bahawa Muhammad Luqman hilang.

"Saya dimaklumkan anak selam ke dalam sungai ketika kejadian untuk mencari ikan dan ada yang kata cari cacing untuk tangkap ikan, tetapi selepas itu, tidak muncul-muncul, mereka cuba cari tapi tak nampak lansung kelibatnya," jelasnya.

Orang ramai yang hadir ke Lata Bayu sebaik sahaja mengetahui kejadian.
Orang ramai yang hadir ke Lata Bayu sebaik sahaja mengetahui kejadian.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, sebaik menerima maklumat pada 6.03 pagi Isnin, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, pencarian telah dimulakan pada jam 6.50 pagi di sekitar lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan orang awam," katanya.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, Op SAR telah dimulakan bagi mencari mangsa yang hilang sejurus laporan diterima.


Anggota yang terlibat dalam Op SAR di lokasi kejadian.
Anggota yang terlibat dalam Op SAR di lokasi kejadian.

"Op SAR dimulakan pada jam 10 pagi dipecahkan kepada dua kumpulan yang melalui dua laluan berbeza menuju ke lokasi mangsa kali terakhir dilihat.

"Sepanjang laluan mendaki ke lokasi, Unit K9 Polis tidak kesan sebarang laluan lain mangsa ke lokasi terakhir mangsa dilihat,"katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, Op SAR tertumpu di kawasan lokasi terakhir mangsa iaitu di kawasan lata di mana kedalaman lata tersebut sampai paras lebih kurang 170 sentimeter.

"Pada jam 10.50 pagi, PPDA bomba memulakan carian di lokasi dipercayai hilang menggunakan teknik 'Body Flashing' dan pada jam 11.05 pagi, mayat mangsa berjaya dikesan.

"Turut ditemui, topeng selam yang masih dipakai semasa mayat ditemukan,"katanya.


Ahli Dewan Undangan Negeri Kupang, Datuk Najmi Ahmad (kiri) menemui Zuraidi (kanan) di lokasi kejaidan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kupang, Datuk Najmi Ahmad (kiri) menemui Zuraidi (kanan) di lokasi kejaidan.

Beliau berkata, usaha membawa turun mayat agak sukar memandangkan lokasi kejadian yang agak jauh dari pintu masuk utama perkelahan tersebut.

"Pada jam 1 petang, mayat mangsa berjaya diusung turun dari Lata Bayu dan dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat," katanya.

Op SAR ditamatkan pada jam 1.20 petang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!