Air Selangor menang perak di Hashtag Asia Awards 2024
SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) diumumkan sebagai pemenang perak bagi kategori Pengurusan Krisis Media Sosial Terbaik di Hashtag Asia Awards 2024 edisi ke-3 yang diadakan di Singapura, pada 3 Mei lalu.
Pemangku Ketua Eksekutifnya, Ir. Abas Abdullah berkata, sebagai penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia, Air Selangor memahami bahawa air bukan sahaja penting untuk keperluan seharian malah ia merupakan intipati bagi sesebuah kehidupan.
Menurut Abas, strategi pengurusan krisis Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Air Selangor telah berkesan membuktikan keupayaannya dalam menyampaikan maklumat penting secara tepat dan telus serta mengemaskini maklumat terkini melalui platform media sosial untuk memastikan pengguna sentiasa kekal maklum.
“Kami akan terus menyediakan air terawat yang bersih dan selamat kepada 9.3 juta pengguna di Selangor, Putrajaya, dan Kuala Lumpur dalam melestarikan kehidupan dan kesihatan untuk semua.
“Kami berbesar hati menerima anugerah berprestij Hashtag Asia Award ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor berkata Elina Baseri berkata, pengiktirafan itu membukti komitmen syarikat dalam memanfaatkan platform digital untuk meningkatkan strategi tindak balas dan komunikasi krisis kami.
“Pasukan kami bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk memastikan sebaran maklumat yang tepat pada masanya semasa krisis, dan anugerah ini telah membuktikan dedikasi dan kepakaran mereka,” tambah Elina.
Kategori Pengurusan Krisis Media Sosial Terbaik Hashtag Asia Award mengiktiraf organisasi yang telah menunjukkan prestasi yang luar biasa dalam mengurus dan meminimumkan krisis melalui saluran media sosial.
Strategi pengurusan krisis ERP Air Selangor telah menonjolkan kecemerlangan dalam kalangan pesaingnya atas keberkesanan, inovasi, dan impaknya dalam melindungi kesejahteraan pengguna selain mengekalkan kepercayaan dan ketelusan semasa kecemasan.
Hashtag Asia Award 2024 telah diadili oleh 36 profesional pemasaran kanan dan mendapat penyertaan daripada jenama-jenama terkemuka di seluruh Asia.
Pada anugerah yang sama, Air Selangor juga disenaraikan sebagai salah satu finalis dalam kategori Kempen Penglibatan Sosial Berintegrasi Terbaik bersaing dengan jenama-jenama antarabangsa terkemuka.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!