Usah berduka tidak ke Tanah Haram, ini pahala amalan umpama buat haji

BERBUAT baik dan berbakti kepada ibu bapa yang masih hidup merupakan antara amalan yang pahalanya umpama mengerjakan haji. Foto CANVA
BERBUAT baik dan berbakti kepada ibu bapa yang masih hidup merupakan antara amalan yang pahalanya umpama mengerjakan haji. Foto CANVA
A
A
A

SAYU hati ketika menghantar ibu bapa, ahli keluarga atau sahabat handai yang dipanggil menjadi tetamu ALLAH SWT dalam menunaikan ibadah haji.

Lebih membuatkan perasaan menjadi sebak apabila terdengar pula nyanyian nasyid atau zikir ‘Labbaikallahumma labbaik’ yang meniti di bibir-bibir bakal jemaah haji itu.

Terasa mahu mengalirkan air mata pada ketika itu juga apabila kedengaran suara azan yang dilaungkan sebelum mereka berangkat pergi.

Di dalam hati terdetik, alangkah gembira dan syukurnya jika diri ini bersama-sama mereka pada ketika itu berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Bagaimanapun usah risau dan berdukacita bagi mereka yang belum berkemampuan untuk ke Makkah atau belum mendapat tawaran daripada Tabung Haji untuk berbuat demikian.

Pendakwah, Ustazah Asma’ Harun ada khabar gembira buat golongan yang masih belum berkesempatan untuk melaksanakan ibadah haji.

Di dalam perkongsiannya di Facebook, Ustazah Asma’ menjelaskan, ALLAH SWT menerima niat mereka untuk melaksanakan ibadah haji dengan ganjaran pahala yang sempurna bagi seseorang yang telah bersungguh-sungguh melakukan persediaan dan menanam azam yang tinggi untuk menjadi tetamu-NYA.

Artikel Berkaitan:

USTAZAH ASMA' HARUN
USTAZAH ASMA' HARUN

“Dalam satu hadis Qudsi ada menyebutkan bahawa ALLAH SWT berfirman:

“Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian DIA menjelaskan, siapa yang berniat, mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, ALLAH mencatatkannya sebagai satu kebaikan yang sempurna.

“Jika dia berniat untuk berbuat kebaikan lalu dia mengerjakannya, ALLAH mencatatnya sebagai 10 hingga 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi.

“Jika dia berniat melakukan kejahatan, tetapi dia tidak mengerjakannya, ALLAH mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, ALLAH mencatatnya sebagai satu kejahatan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Menurut beliau, mudahnya ALLAH SWT hendak memberikan pahala kepada kita dengan hanya niat melakukan kebaikan dan ia sudah menjadi ganjaran.

“Tak semua yang kita hajatkan itu baik untuk kita, namun akhirnya takdir ALLAH jualah yang terbaik untuk hamba-hamba-NYA.

“Walaupun tak dapat ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, tapi sebenarnya ada banyak amalan yang ganjarannya umpama pahala haji yang boleh kita lakukan,” katanya.

Ustazah Asma’ menyenaraikan lima amalan yang ganjarannya seumpama pahala haji seperti yang disebut Nabi Muhammad SAW dalam hadis:

1 - Solat Subuh berjemaah.

Amalan ini berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang solat Subuh berjemaah kemudian duduk berzikir sehingga matahari terbit kemudian diikuti dengan solat dua rakaat, maka dia mendapat pahala seperti pahala haji dan umrah.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

SOLAT BERJEMAAH di masjid turut disenaraikan antara amalan yang besar pahalanya di sisi ALLAH SWT. Foto Pexels
SOLAT BERJEMAAH di masjid turut disenaraikan antara amalan yang besar pahalanya di sisi ALLAH SWT. Foto Pexels

2. Berbuat baik kepada ibu bapa.

Dalam hadis yang lain, Anas bin Malik RA berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Aku ingin berjihat tetapi aku tidak mampu.’ Baginda bertanya: ‘Adakah ibu bapamu masih hidup?”

Lelaki itu menjawab: “Ya, ibuku (masih hidup).” Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Berbuat baiklah kepada ibumu kerana ALLAH, kamu akan mendapat pahala haji, umrah dan jihad jika ibumu reda kepadamu. Bertakwalah kepada ALLAH dan berbuat baiklah kepadanya.” (Hadis Riwayat At-Tabarani)

3. Menghadiri majlis ilmu di masjid.

Abu Umamah RA meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna.” (Hadis Riwayat At-Tabrani)

4. Membaca ucapan tahmid, takbir dan tasbih selepas solat fardu.

Abu Hurairah RA berkata: “Telah datang sahabat yang miskin kepada Nabi SAW lalu berkata: ‘Orang-orang kaya, dengan harta benda mereka itu, mereka mendapat kedudukan yang tinggi, juga kenikmatan yang abadi.

“Mereka melaksanakan solat seperti kami melaksanakan solat, mereka berpuasa sebagaimana kami juga puasa. Namun mereka memiliki kelebihan disebabkan harta mereka, sehingga mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan harta tersebut, dapat melaksanakan umrah bahkan dapat berjihad dan bersedekah.”

Maka Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku sampaikan kepada kamu sesuatu yang apabila kamu ambil (sebagai amal ibadah) kamu akan dapat mengatasi (darjat) orang yang sudah mengalahkanmu. Dan tidak akan ada yang dapat mengalahkanmu dengan amalan ini sehingga kamu menjadi yang terbaik antara kamu dan di tengah-tengah mereka, kecuali apabila ada orang yang mengerjakan seperti yang kamu amalkan.

“(Amalan tersebut) adalah membaca tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah) dan takbir (Allahu akbar) setiap selesai solat sebanyak tiga pulah tiga kali.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

USAH berduka jika kita masih belum dipanggil menjadi tetamu ALLAH. Niat dan berusahalah bersungguh-sungguh ke Tanah Haram. Foto CANVA
USAH berduka jika kita masih belum dipanggil menjadi tetamu ALLAH. Niat dan berusahalah bersungguh-sungguh ke Tanah Haram. Foto CANVA

5. Solat fardu berjemaah di masjid.

Abu Umamah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang keluar dari rumah dalam keadaan suci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti menunaikan haji.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Ustazah Asma’ berharap dengan mengamalkan amalan ini dapat memberikan ganjaran serta memujuk hati para jemaah yang telah bersedia menunaikan haji namun tidak direzekikan untuk menjadi tetamu ALLAH SWT pada tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!