'Rest time' status terakhir Amir sebelum tenggelam
DUNGUN - Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, 21, yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Bidara di sini sempat memuat naik status 'rest time' di aplikasi WhatsApp, 15 minit sebelum dia hilang dibawa arus.
Mangsa yang terselamat, Muhammad Hazman Muhammad Zamili, 21, berkata, status dimuat naik Mohamad Amir Izzuddin pada jam 6.16 petang itu disedari selepas insiden berkenaan.
"Saya perasan status itu pun selepas insiden ini. Rasa terkilan sangat sebab tak dapat selamatkan Amir," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini bersama seorang lagi rakannya yang terselamat, Muhammaf Irfan Kamarulzaman, 21.
Bercerita lanjut, Muhammad Hazman berkata, mereka berenam tiba di pantai itu pada jam 6 petang sebelum empat daripadanya dihanyutkan arus deras jam 6.30 petang.
Katanya, ombak setinggi paras dada yang membadai membantutkan niatnya untuk terus bermain air di situ.
"Saya datang ke sini tak bawa telefon bimbit sebab ingat hanya datang sekejap untuk nikmati pemandangan dan mandi-manda di pesisir pantai.
"Kami enam orang waktu tu hanya bermain ombak, namun empat daripada kami kelihatan teruja hingga tidak sedar ke tengah laut.
"Waktu tu saya sempat laung beritahu tak boleh sampai ke tengah sebab arus deras, namun insiden yang berlaku begitu pantas," katanya.
Muhammad Hazman berkata, usaha dia untuk membantu rakan-rakannya termasuk Mohamad Amir Izzuddin tidak berhasil kerana rakannya itu tenggelam dibawa arus.
"Saya cuba bantu Amir untuk naik ke darat namun Amir tepis sebab nak selamatkan rakan-rakan yang lain.
"Kejadian itu amat singkat dalam tiga minit mereka semua tenggelam di depan mata saya akibat dibawa arus deras.
"Ada orang awam cuba bantu dengan membaling pelampung namun gagal," katanya sebak.
Terdahulu, empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) masing-masing berusia 21 tahun dikhuatiri lemas ketika sedang mandi-manda di pantai itu petang semalam.
Mangsa, Muhammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, Muhammad Zul Fahmi Zuki, Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee dikatakan sedang mandi-manda bersama dua lagi rakan sebelum hilang ditelan ombak.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat pelajar Politeknik Dungun dikhuatiri lemas
'Anak tak pandai berenang, tak pernah mandi pantai'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!