10 bot ditahan ceroboh zon penangkapan ikan
BAYAN LEPAS - Jabatan Perikanan Malaysia menyita 10 buah bot pukat tunda yang menceroboh zon larangan penangkapan ikan bagi vesel komersial iaitu di Perairan Taman Laut Pulau Payar dan Perairan Mukahead hingga ke Perairan Gertak Sanggul di sini pada Sabtu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, tangkapan dibuat melalui Ops Rentas di perairan Kedah dan Pulau Pinang melalui Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (PKOPP) Langkawi
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot-bot berkenaan telah melakukan kesalahan menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan Taman Laut.
"Antara kesalahan lain yang turut dikesan adalah beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari daratan terhampir, menghalang tugas pegawai berkuasa dan melindungi nombor pendaftaran dari dilihat oleh pegawai berkuasa.
" Prosedur penyitaan telah dilaksanakan setelah mendapati bot-bot tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu Perenggan 8(b), Perenggan 43(1)(a), Seksyen 53 dan Sub-peraturan 10(3) Peraturan-Peraturan Perikanan (Kelautan) (Pelesenan Vesel Penangkapan Ikan) 1985,"katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Sumber, Batu Maung di sini, pada Isnin.
Wan Muhammad Aznan berkata, kesemua bot termasuk kelengkapan peralatan menangkap ikan yang dirampas bernailai RM3 juta dan pihaknya turut merampas 3,000 kilogram (kg) ikan dan lelongan ikan berjumlah RM 10,000.
Katanya, seramai 34 nelayan yang terdiri empat warga tempatan, 28 orang Warganegara Thailand dan masing-masing seorang dari Kemboja dan Laos berusia antara 23 tahun hingga 65 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!