Pahang umum lima ADUN lantikan

Empat daripada lima ADUN yang dilantik dan diumumkan dalam persidang DUN Pahang hari ini.
Gambar kecil dari kiri: Rizal Jamin, Wong Tat Chee, Haris Salleh, dan Mohd Fadzli
Empat daripada lima ADUN yang dilantik dan diumumkan dalam persidang DUN Pahang hari ini. Gambar kecil dari kiri: Rizal Jamin, Wong Tat Chee, Haris Salleh, dan Mohd Fadzli
A
A
A

KUANTAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang meluluskan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.

Pelantikan kelima-limanya tanpa melalui proses pilihan raya itu diluluskan setelah mendapat majoriti mudah dan diumumkan pada persidangan berkenaan.

Lima ADUN lantikan tersebut terdiri daripada Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Rizal Jamin.

Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengusulkan nama lima ADUN lantikan tersebut dan disokong oleh Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-Tioman), Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif (BN- Inderapura), Mohd Shahrim Md Zain (BN-Chini), Datuk Abd Aziz Kiram (BN-Batu Talam), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (PH-Tras), Su Keong Siong (PH-Ketari) dan Ho Chi Yang (PH-Tanah Rata).

Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, kelima-lima ADUN lantikan yang dilantik dijangka akan mengangkat sumpah pada Sidang DUN akan datang yang dijadualkan Ogos depan.

Menurutnya, ADUN yang dilantik tanpa pilihan raya itu berfungsi sama seperti ADUN biasa termasuk boleh mengambil bahagian dalam perbahasan dan berhak mengundi.

"Ia kerana usul pindaan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi melantik ADUN secara lantikan ini diluluskan dengan sokongan majoriti pada Sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada November 2020 lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi Sidang DUN di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"ADUN lantikan ini tiada kawasan sebaliknya macam senator untuk membantu kerajaan negeri sehingga tamat penggal ini," katanya.

Terdahulu, Wan Rosdy dalam usulnya menjelaskan, pemilihan ADUN yang dilantik berdasarkan latar belakang pengalaman, kerjaya dan sumbangan kepada masyarakat.

"Pelantikan itu juga berdasarkan kepada pertimbangan antaranya untuk meluaskan perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat terutama dalam situasi politik dan sosio ekonomi yang kian mencabar.

"Lantikan dibuat dalam kalangan mereka yang berkarliber, profesional dan berkemahiran tertentu untuk berganding bahu bersama ADUN sedia.

"Kerajaan melihat pelantikan tambahan melibatkan ADUN lantikan ini mampu mengurangkan kadar atau ‘ratio’ secara keseluruhan seorang ADUN kepada jumlah penduduk yang diwakili," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah berfikir semasaknya sebelum mencadangkan pelantikan itu.

"Bukanlah hari ini cadangan diluluskan, kita terus lantik sebaliknya bergantung kepada rasional dan keperluan kerana ia akan melibatkan implikasi kewangan," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!