PM diberi sambutan rasmi sempena lawatan sulung ke Qatar

Anwar mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Qatar yang juga Menteri Luar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani di Amiri Diwan hari ini. Foto Bernama
Anwar mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Qatar yang juga Menteri Luar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani di Amiri Diwan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

DOHA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi oleh kerajaan Qatar sempena lawatan sulung beliau ke negara Asia Barat itu, di sini.

Perdana Menteri tiba di dewan pemerintahan negara Qatar itu pada 10.30 pagi waktu tempatan (3.30 petang waktu Malaysia) disambut Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Anwar kemudiannya menghadap Sheikh Tamim di pejabat baginda sebelum bertemu rakan sejawatnya, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, yang juga Menteri Luar Negeri Qatar.

Lawatan Perdana Menteri itu yang memenuhi undangan baginda, disifatkan penting ke atas hubungan dua hala kedua negara berkenaan yang memasuki ulang tahun ke-50 hubungan dua hala tahun ini.

Kali terakhir kedua pemimpin itu bertemu adalah bulan lepas di Riyadh, Arab Saudi, yang turut menyentuh peranan Qatar yang signifikan terhadap rundingan Palestin-Israel ke arah gencatan senjata yang segera dan berkekalan.

Ini merupakan lawatan pertama Perdana Menteri ke Qatar selepas dilantik sebagai perdana menteri ke-10 pada 22 November 2022.

Turut mengiringi Anwar dalam lawatan rasmi tiga hari itu yang bermula semalam adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Anwar tiba di ibu negara ini semalam pada pukul 9.37 malam waktu tempatan (2.37 pagi waktu Malaysia Isnin) dengan menaiki pesawat khas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!