MDKP laksana pemutihan gerai penjaja di penempatan MyKiosk
KUALA PILAH - Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) akan melakukan pemutihan gerai-gerai penjaja di tujuh lokasi penempatan MyKiosk yang diperuntukkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di daerah ini.
Yang Dipertua MDKP, Mohd Faizal Abd Manap berkata, setakat ini terdapat 50 kios yang ditempatkan di tujuh lokasi itu membabitkan Pekan Tanjong Ipoh, Jalan Bukit Putus/Gunung Angsi, Pekan Air Mawang, Pekan Senaling, Kampung Jemapoh, Taman Putra, dan Pekan Kuala Pilah.
"Pihak MDKP telah mengeluarkan surat tawaran sebelum ini dan penjaja diberikan tempoh persediaan untuk pindah selewat-lewatnya sehingga 1 Jun ini selepas perbincangan semula diadakan baru-baru ini.
"Pemutihan dilakukan terhadap premis-premis sedia ada yang telah mendapat kios, tapak-tapak premis lama perlu dikosongkan dan dialihkan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan KPKT meluluskan sebanyak 3,073 unit MyKiosk dengan manfaat kadar sewa rendah iaitu tidak melebihi RM300 sebulan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun lalu.
Menurut Menterinya, Nga Kor Ming, kos anggaran seunit kiosk antara RM15,000 hingga RM20,000 termasuk disediakan panel solar itu dibina bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan terutama golongan B40 dalam menjana serta meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi.
Katanya, lima pihak berkuasa tempatan (PBT) telah terpilih bagi fasa pertama projek itu iaitu Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Perbandaran Port Dickson dan Majlis Daerah Kuala Pilah.
Dalam pada itu, mengenai penambahan kios pada tahun ini, Mohd Faizal berkata, ia masih dalam perancangan permohonan peruntukan kepada KPKT untuk menambah sebanyak 30 unit kios.
Sebagai rekod terdapat dua kategori kios yang diberikan kepada peniaga iaitu kios punca elektrik solar dikenakan bayaran RM100 sebulan manakala tanpa solar RM80 sebulan, bagaimanapun tiada bayaran dikenakan dalam tempoh enam bulan pertama sewaan.
Ujar Mohd Faizal, sebarang penambahan secara kekal Kiosk Penjaja yang diterima pihak peniaga adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Menurutnya, jika terdapat makluman atau pengesanan dibuat, Bahagian Pelesenan dan Kesihatan boleh mengambil tindakan untuk membatalkan serta-merta lesen perniagaan.
"Selain itu, pihak peniaga perlu memberi kenyataan secara bertulis kepada Bahagian Pelesenan dan Kesihatan untuk sebarang pemakluman kerosakan dalam tempoh dua minggu selepas perniagaan mula beroperasi.
"Masih terdapat 22 Kiosk Penjaja yang masih kosong dan dibuka untuk permohonan peniaga baru. Lokasi Kiosk Penjaja yang masih kosong akan dihebahkan melalui iklan kekosongan gerai dari semasa ke semasa," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!