Akaun Fleksibel: Pencarum serbu pejabat KWSP hingga kaunter ditutup
SHAH ALAM - Orang ramai membanjiri pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Seksyen 15, di sini pada Isnin sehingga kaunter ditutup jam 4.30 petang bagi membuat permohonan melakukan pemindahan wang daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.
Tinjauan Sinar Harian mendapati ramai pencarum datang ke kaunter bagi mengemas kini nombor telefon bimbit untuk urusan kod pengesahan transaksi (TAC) selain membuat pertanyaan lanjut prosedur akaun ketiga.
Pencarum, Marina Ibrahim, 40, berkata, walaupun pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian, dia terpaksa ke kaunter KWSP bagi mengemas kini nombor telefon bimbit untuk urusan TAC.
"Saya datang untuk menukar nombor telefon dalam sistem bagi membuat permohonan dalam talian.
"Lagipun saya kurang jelas berkenaan pengeluaran wang dari akaun dua ke akaun tiga, jadi sekarang saya sudah tahu bagaimana proses yang sebenar," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Suri rumah yang mahu dikenali Annakili, 48, berkata, walaupun sudah mendaftar secara dalam talian, dia masih mempunyai kekeliruan terhadap proses caruman wang ke akaun ketiga.
Ujarnya, selain mendapatkan maklumat lanjut berkenaan caruman, dia turut mengambil peluang untuk memeriksa baki simpanan.
"Sebenarnya, saya tidak jelas berkenaan pengeluaran wang dari akaun dua ke akaun tiga, jadi sebab itulah saya datang untuk tanya bagaimana proses yang sebenar," katanya.
Pekerja swasta, Sharifah Mimpa Manap, 40, pula berkata, kehadirannya di pejabat KWSP bagi mengemas kini kata laluan TAC untuk membuat permohonan pengeluaran berkenaan.
Menurutnya, pembukaan akaun ketiga ini sedikit sebanyak dapat membantu dirinya merancang kewangan dengan lebih baik untuk kegunaan kecemasan.
Sementara itu, berbeza dengan pemuda yang bekerja sendiri, Ahmed Zareef Nur Abdul Malek, 33, berkata, kehadiran ke pejabat tersebut bukan untuk memohon pengeluaran wang dari akaun dua ke akaun tiga.
Ujarnya, dia mengambil langkah untuk mengemas kini nombor telefon bagi memudahkan membuat pelbagai urusan selepas ini.
"Saya datang hari ini bukan niat untuk membuat permohonan akaun ketiga yang berbentuk fleksibel, tapi bagi mengemaskini nombor telefon.
"Tempoh permohonan dibuka pun masih panjang, jika saya berubah fikiran senang untuk berbuat demikian nanti," katanya.
KWSP memperkenalkan akaun Fleksibel bagi membolehkan ahli mereka mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.
Menurut kenyataan KWSP, permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.
Tujuan pemberian pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel adalah bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun itu tanpa perlu menunggu caruman baharu.
Amaun yang akan dipindahkan adalah berdasarkan baki Akaun Sejahtera ahli semasa pilihan ini dibuat.
Kaedah pindahan dilakukan mengikut dua pecahan iaitu pertama baki ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera manakala yang kedua baki dalam akaun sama adalah kurang dari RM3,000.
Ahli boleh membuat pilihan pindahan amaun permulaan bermula 12 Mei sehingga 31 Ogos 2024 dan ia hanya boleh dibuat sekali sahaja pada bila-bila masa sepanjang tempoh tersebut serta tidak boleh dibatalkan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!