NACS: Mekanisme terbuka, mudah diakses awam perlu dibangunkan

NACS perlu pendekatan lebih fokus, spesifik untuk memastikan keberkesanan strategi.
NACS perlu pendekatan lebih fokus, spesifik untuk memastikan keberkesanan strategi.
A
A
A

SHAH ALAM - Mekanisme terbuka dan mudah diakses untuk pemantauan awam melalui papan pemuka yang dikemas kini secara suku tahunan perlu dibangunkan bagi memastikan semak dan imbang, serta kemajuan pelaksanaan strategi dapat dipantau dalam jangka masa yang ditetapkan.

Masyarakat Sivil dan Profesional mewakili Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (KRPPM-IGAR) berkata, ia merupakan salah satu perkara yang perlu diberi perhatian bagi memastikan kejayaan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) melalui pengumuman Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).

Katanya, NACS juga memerlukan pendekatan lebih fokus, spesifik untuk memastikan keberkesanan strategi.

"Beberapa garis masa yang dinyatakan di dalam NACS tersebut tidak konsisten dengan komitmen awal yang dinyatakan di dalam NACP.

"Perkara ini memerlukan penjelasan, memandangkan sebarang lanjutan boleh menjejaskan dan melengahkan perlaksanaan strategi," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah kenyataan itu, ketelusan dan kebebasan institusi yang merupakan refleksi kepada akauntabiliti tidak didefinisikan dengan jelas melalui teras-teras strategik dinyatakan.

"Antaranya pengasingan kuasa pendakwa raya dan Peguam Negara yang terkandung di dalam pelan terdahulu kini akan diteruskan perlaksanaannya dalam mesyuarat jawatankuasa kerajaan yang lain di peringkat kebangsaan.

"Pihak kerajaan mahu pun Peguam Negara perlu memberi penjelasan mengenai perkara tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu lagi, selain jaminan di dalam manifesto-manifesto semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), perincian reformasi perundangan dan institusi secara menyeluruh harus dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

"Dalam masa sama, libat urus antara sekretariat NACS, pemegang taruh dan kumpulan rentas ini harus terus berlangsung agar penjelasan lanjut diperoleh dan reformasi anti rasuah negara tidak tertangguh dan menjejaskan garis masa strategi," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!