‘Zon selamat di Gaza hanya jaminan palsu’
AMMAN - Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menolak dakwaan Israel yang kononnya menubuhkan 'zon selamat' buat penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal di Genting Gaza.Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini menerusi catatan di platform X pada Ahad menegaskan kenyataan rejim Zionis tentang kewujudan kawasan itu adalah palsu dan mengelirukan.
Sebelum ini, beberapa kakitangan agensi bantuan juga mengakui 'zon selamat' di bandar Rafah dan Khan Yunis itu sebenarnya tidak terhindar daripada hujan peluru rejim Zionis.
“Hakikatnya, tiada tempat selamat di Gaza,” ujarnya merujuk kepada arahan pemindahan baharu dikeluarkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ke zon yang ditetapkan setelah kempen pengeboman kembali diperhebatkan ke atas wilayah terkepung itu.
Ketika ini, ratusan ribu penduduk Gaza yang dipaksa berpindah ditempatkan di kawasan digelar 'pulau kemanusiaan' di al-Mawasi yang terletak di bahagian barat enklaf tersebut.
Staf bantuan menggambarkan keadaan di lokasi yang sesak itu sangat mengerikan ketika krisis kemanusiaan semakin meruncing di Gaza.
“IDF berterusan mengeluarkan arahan berpindah kepada penduduk Gaza. Ia memaksa golongan itu melarikan diri tanpa arah tuju,” kata Lazzarini lagi.
Menurutnya, kebanyakan penduduk Gaza perlu akur dengan perintah tanpa pelan keselamatan jelas itu secara purata sekali dalam tempoh sebulan.
“Mereka tidak tahu mahu ke mana lagi,” tambahnya.
Agensi bantuan antarabangsa menganggarkan kira-kira 150,000 sudah meninggalkan timur Rafah sejak Isnin lalu.
Gelombang perpindahan baharu pada akhir minggu lalu pula menyaksikan kira-kira 300,000 lagi penduduk tengah dan selatan Rafah serta Jabalia di utara terpaksa berpindah. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!