Lata Iskandar, Lata Kinjang dilanda kepala air
IPOH - Fenomena kepala air besar berlaku di kawasan air terjun Lata Iskandar dan Lata Kinjang dekat Tapah pada pagi Isnin.
Rakaman video kejadian itu tular di media sosial menunjukkan arus sungai mengalir deras dari kawasan puncak.
Di Lata Kinjang, arus deras turut membawa bersama kayu dan batang pokok hingga mengakibatkan beberapa kerosakan kepada kemudahan disediakan di situ.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 9 pagi, namun tidak melibatkan mangsa.
Menurutnya, arus deras berlaku disebabkan faktor hujan lebat yang melanda kawasan sekitar itu sejak Ahad malam.
"Anggota bomba telah ke lokasi bagi tujuan pemantauan.
"Tiada mangsa yang terlibat dan kejadian ini juga tidak mengakibatkan berlakunya banjir atau pemindahan penduduk," katanya dalam kenyataan kepada pemberita pada Isnin.
Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terutama ketika melakukan aktiviti rekreasi dan mandi di kawasan berkenaan.
Katanya, fenomena kepala air boleh dikesan awal antaranya dengan melihat perubahan langit gelap di kawasan puncak bukit, bunyi dentuman seperti gerakan batu serta air bertukar warna dan berbuih secara tiba-tiba.
"Apabila tanda-tanda ini dikesan, orang ramai perlu memastikan diri dan keluarga meninggalkan kawasan tersebut dengan serta merta," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi memaklumkan tiada sebarang laporan bencana dan kemalangan jiwa diterima berkaitan kejadian kepala air terbabit
"Begitupun orang ramai perlu sentiasa peka dengan amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi memandangkan keadaan hujan yang tidak menentu," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!