DBKL diarah segera tebang pokok berisiko
PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera dengan menebang pokok yang berisiko tinggi di Kuala Lumpur.
Ia susulan berlaku insiden pokok tumbang pada Isnin yang hanya berselang seminggu dari kejadian di Jalan Sultan Ismail.
Beliau berkata, pada masa sama, DBKL juga telah diarahkan untuk menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka siap pada Julai 2024 agar insiden sama tidak berulang dalam jangka masa panjang
"Bagi memastikan kelestarian alam terus dijaga dan diberi perhatian, DBKL juga perlu memperincikan program penggantian semula pokok termasuk meneliti kaedah-kaedah bagi memastikan pokok terbabit utuh dan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum itu, tular rakaman kejadian pokok tumbang menghempap kenderaan berlaku di Jalan Pinang pada jam 3 petang ketika hujan lebat dan angin kuat melanda ibu kota.
Bagaimanapun insiden terbabit tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Dalam kejadian minggu lalu, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun meninggal dunia manakala dua lagi mangsa dilaporkan cedera selepas dihempap pokok tumbang berusia 50 tahun di Jalan Sultan Ismail.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!