Peniaga warga Pakistan dikesan naikkan harga paku 20 sen sebatang

James (dua dari kanan) bersama sepasukan anggota KPDN membuat pemeriksaan di kedai sekitar Pekan Botition, Sugut, Paitan pada Isnin. Gambar kecil: Paku simen dijual dengan harga 20 sen sebatang di sebuah kedai Pakistan
James (dua dari kanan) bersama sepasukan anggota KPDN membuat pemeriksaan di kedai sekitar Pekan Botition, Sugut, Paitan pada Isnin. Gambar kecil: Paku simen dijual dengan harga 20 sen sebatang di sebuah kedai Pakistan
A
A
A

PAITAN - Paku simen dijual dengan harga 20 sen sebatang sedangkan dalam senarai harga barang perkakasan sepatutnya dijual dengan harga RM1 untuk setiap lapan batang.

Itu antara kesalahan yang dikesan iaitu menjual barang dengan harga yang lebih tinggi dalam satu tinjauan mengejut oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib bersama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sekitar Pekan Botition, Sugut dekat sini pada Isnin.

Menurut James, pihaknya ada menerima laporan daripada penduduk bahawa barang perkakasan yang dijual di kedai milik warga Pakistan lebih tinggi sedangkan dalam senarai harga ialah RM1 untuk lapan batang.

"Selepas diperiksa memang betul harga yang dipamerkan tidak sama dengan harga jualan dan penduduk kampung telah melaporkan perkara ini kepada saya selepas mendapati barangan ini dijual bukan mengikut per kilogram tapi mengikut harga per unit," katanya selepas melakukan tinjauan tersebut pada Isnin.

James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata, penjualan minyak masak bersubsidi juga harus dipantau kerana ada peniaga menaikkan harga yang telah ditetapkan.

"Harga minyak masak dipamer di tempat lain tetapi minyak berada dalam kotak. Ini bermakna apabila pelanggan meminta minyak masak, mereka sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak masak bersubsidi tersebut.

"Orang kampung tidak tahu bahawa minyak masak ini sudah ditetapkan harga jualannya iaitu tidak melebihi RM2.50 bagi satu peket. Sekiranya ada orang kampung yang tidak faham mengenai harga subsidi ini, peniaga boleh menaikkan pada harga antara RM3 hingga RM4 bagi satu kilogram atau satu peket.

"Malah, ada juga pelanggan yang dalam kalangan mereka yang bekerja di estet yang tidak tahu harga sebenar minyak masak tersebut jadi ada peniaga yang menjualnya dengan harga mencecah RM5 satu peket," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, James menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan peniaga yang sengaja menaikkan harga barang dengan tinggi dan hukuman akan dikenakan dengan semaksimumnya kepada pesalah.

"Saya bersama KPDN akan memantau setiap masa mengenai isu kenaikan harga ataupun urus niaga kedai-kedai Pakistan kawasan Sugut ini.

"Jika ia berlaku, saya akan minta KPDN menutup premis perniagaan mereka," katanya.

Beliau dalam pada itu turut meminta pihak KPDN mengadakan pemeriksaan secara kerap di semua kedai-kedai milik warga Pakistan di daerah ini kerana yang akan menjadi mangsa ialah penduduk kampung itu sendiri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!