Pakar sejarah Israel saran contohi ketegasan Dr Mahathir
KUALA LUMPUR - Pemimpin dunia lain perlu mencontohi ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin.
Pakar sejarah Israel, Profesor Ilan Pappe berkata, kelantangan yang ditunjukkan pemimpin nombor satu Malaysia itu seharusnya memberi inspirasi kepada semua pihak.
"Saya fikir sangat baik untuk seseorang pemimpin bercakap secara tegas tanpa rasa takut.
"Jadi, saya harap ia akan memberi inspirasi kepada pemimpin untuk ambil langkah yang sama," katanya ketika ditemui selepas selesai menyampaikan syarahan 'Palestine Is Still The Issue' di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Alam Melayu (ISTAC) di sini hari ini.
Pappe yang juga Pengarah Pusat Eropah untuk Pengajian Palestin dan ahli akademik di Institut Pengajian Arab dan Islam di Universiti Exeter menjadi tetamu istimewa Gerakan Keadilan Sedunia (JUST) bagi menyampaikan syarahan umum itu.
Mengulas lanjut mengenai Palestin yang masih menjadi isu sehingga kini, beliau berkata, perkara itu terus berlarutan kerana sehingga kini tiada keadilan buat rakyat di negara berkenaan.
Menurutnya, komuniti antarabangsa masih lagi kurang untuk memberi perhatian terhadap isu tersebut.
"Jadi, saya berpandangan kita perlu perbanyakkan lagi perbualan mengenai hak kemanusiaan rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
"Malah, sudah tiba masanya negara-negara luar khususnya negara Islam bersatu sekali gus membentuk kuasa yang lebih besar dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan negara lain yang turut dicabul," katanya.
Pappe juga merupakan pengarang 20 buku dan banyak artikel mengenai sejarah Timur Tengah pada umumnya dan khususnya senario yang berlaku di Palestin.
Sementara itu, Presiden JUST, Dr Chandra Muzaffar dalam ucapan pembukaan sebelum itu berkata, keberanian yang ditunjukkan Pappe dalam memberikan pandangan yang bertentangan dengan pemimpin negara kelahirannya itu seharusnya dipuji.
Katanya, tidak ramai yang berani tampil ke depan dalam menyatakan pandangan kritikal mereka apatah lagi ke atas negara sendiri.
"Selain itu, JUST akan terus fokus kepada isu keadilan dan kemanusiaan di seluruh dunia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!