Vokal mantap Aina Abdul pukau DFP

Ainal Abdul. Foto kredit Dewan Filharmonik Petronas (DFP)
Ainal Abdul. Foto kredit Dewan Filharmonik Petronas (DFP)
A
A
A

KEHEBATAN vokal bintang muda, Aina Abdul yang tampil bertenaga selama lebih dua jam di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini cukup untuk membuatkan penonton 'terbang tinggi' dengan suara emasnya.

Lebih-lebih lagi persembahan beliau digandingkan dengan muzik memukau oleh 60 pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di bawah pimpinan konduktor, Ahmad Muriz Che Rose yang sekali lagi berjaya membuktikan pentas berprestij itu berada dalam kelas yang tersendiri.

Memulakan persembahan dengan alunan lagu Imaji daripada album sulungnya yang juga dengan tajuk sama, Aina menyihir penonton menerusi kelunakan suaranya.

Berbusana mewah berkilau rekaan pereka fesyen terkenal tanah air, Melinda Looi, kemunculan penyanyi muda itu di atas pentas turut menerima sorakan peminat yang memenuhi dewan berkenaan.

"Saya menyilau sangat ke? Onz (Bersemangat) ke?” seloroh Aina yang disambut sorakan dan tepukan gemuruh penonton.

Suasana di dalam dewan semakin hangat tatkala pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022 itu mengalunkan lagu popularnya - Sumpah, Kejam dan Kelip-kelip.

Sepanjang persembahan berlangsung, penyanyi wanita popular berkenaan atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani turut membawa penonton menelusuri perjalanan hidupnya sebelum bergelar penyanyi hingga sekarang.

"Saya mulanya bukan seorang komposer, saya cuba jadi komposer, dan dari kecil lagi saya memang bercita-cita mahu menjadi penyanyi. Dulu saya beli CD (cakera padat) ramai artis serta saya ikut cara mereka menyanyi.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga pergi ke kelas vokal untuk mengasah (bakat) yang ALLAH bagi, dan selepas itu saya dapat tempat kedua dalam Mentor Legend (program realiti).

"Tetapi, tetap tidak cukup, dan dari situ saya mula menulis... menulis lagu (ini) berjaya meluahkan segala rasa dalam kepala saya," kongsi Aina.

Beraksi kali pertama di DFP, anak kelahiran Johor itu dilihat bijak berkomunikasi dengan penonton selain gelagatnya yang bersahaja turut berjaya mencuit hati peminat.

Selain itu, Aina turut membawakan lagu Bilang, Sesal, Sepi, Semalam, Dawai, Kamu, Puas Sudah, Terus Hidup dan "Fool” yang membuatkan penonton turut sama menyanyi.

Beliau juga berjaya mencuit emosi setiap yang hadir ketika menyampaikan lagu 'Shadow' yang didedikasikan untuk mendiang bekas pengurusnya, Manisha Jagan yang meninggal dunia pada tahun lepas.

"Dia (Manisha) sangat teristimewa dalam hidup saya. Semasa mula-mula dalam industri ini bukan perjalanan yang mudah, kerana dulu saya keliru (sama ada) mahu menyanyi dalam bahasa Melayu atau (bahasa) Inggeris.

"Dia bantu saya, berikan sepenuh sokongan untuk keluarkan sahaja (apa-apa) lagu," katanya yang terhutang budi dengan Manisha yang menjadi pengurusnya dari 2014 hingga 2017.

Kehebatan tersendiri vokal penyanyi itu tidak dapat disangkal lagi apabila mendendangkan lagu medley dalam bahasa Inggeris, iaitu 'At Last', 'You Make Me Feel', 'Hero', 'When You Believe', 'I Surrender' dan 'Listen', menyaksikan beliau menerima tepukan sanjungan (standing ovation) sebelum menutup tirai persembahan dengan lagu Jangan Mati Rasa Itu.

Selain busana rekaan Looi, penyanyi muda itu turut menyarung rekaan Ezuwan Ismail, Rizman Ruzaini dan Wan & Mary sepanjang dua hari konsert berlangsung pada 10 dan 11 Mei lepas.

Hampir 2,000 penonton memenuhi DFP untuk menyaksikan persembahan Aina sepanjang dua hari berkenaan.

Turut kelihatan rakan artis Anuar Zain dan Ziana Zain. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!