Petros ambil alih aktiviti jual beli gas asli bermula 1 Julai depan

Petros akan mengambil alih peranan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak.
Petros akan mengambil alih peranan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak.
A
A
A

PETROLEUM Sarawak Bhd (Petros) akan mengambil alih peranan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, tempoh peralihan itu bermula 1 Julai depan sehingga 1 Januari 2025.

"Petros akan mengambil alih peranan tersebut daripada Petronas bukan sahaja sebagai pembeli dan penjual gas asli, malah Petros akan menjalankan semua aktiviti yang berkaitan perolehan, pembekalan dan pengedaran gas asli yang dihasilkan di Sarawak,” katanya.

Julaihi mengumumkan perkara itu ketika menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, Petros dan Petronas juga bersetuju untuk menandatangani perjanjian definitif (Definitive Agreement), dengan Petronas mengambil maklum peranan Petros sebagai Pengagregat Gas Tunggal di bawah Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan), 2023

"Oleh itu, bermula 1 Julai depan, Petros sebagai Pengagregat Gas Tunggal akan membeli gas asli yang dihasilkan di Sarawak dari semua pengeluar gas huluan dan menjual gas tersebut kepada semua pembeli gas hiliran termasuk loji pemprosesan gas asli cecair (LNG) di Sarawak.

"Ini membolehkan pembekalan LNG secara berterusan oleh pihak loji pemprosesan bagi memenuhi kontrak sedia ada mereka dengan pembeli LNG luar negara seperti di Jepun dan Korea," katanya.

Julaihi berkata, dalam usaha meningkatkan penggunaan gas asli, Petros akan menjalankan usaha berterusan yang selaras dengan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).

Artikel Berkaitan:

"Melalui inisiatif SGR ini, pengunaan gas asli di Sarawak yang kini berada pada tahap enam peratus mampu ditingkatkan kepada 30 peratus atau lebih menjelang 2030.

"Pelan ini dijangka akan menarik pelaburan ke Sarawak, menghasilkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!