Selangor ambil langkah awal di kawasan tanah runtuh
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengambil beberapa langkah awal demi keselamatan pengguna berikutan kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang, Semenyih pada Isnin.
Kejadian tanah runtuh di kawasan itu menyebabkan jalan di kedua-dua arah terputus hubungan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, penyelarasan awal dan tindakan segera di tempat kejadian telah diambil antaranya pemakluman awal pada persimpangan menghala ke lokasi kejadian.
"Antara cadangan tindakan awal yang sedang disemak di tapak dan dikenal pasti kebolehlaksanaan adalah dengan pemasangan 'Bailey Bridge'.
"Selain itu, (pengguna boleh menggunakan) laluan alternatif sementara yang melalui kawasan tanah persendirian berdekatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Izham memberitahu, operator lori sampah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menawarkan untuk pembinaan pembetung sementara di laluan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih dalam peringkat penelitian.
"Saya bersama JKR (Jabatan Kerja Raya) Negeri Selangor dan MPKj akan terus memastikan keselamatan pengguna dan masyarakat sekeliling menjadi keutamaan kami.
"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke masa," jelas beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!