Gerakan protes pelajar terbesar abad ke-21
WASHINGTON - Kampus universiti di seluruh dunia telah menjadi hab protes bagi membantah perang genosid ke atas Genting Gaza yang berlarutan sejak lebih tujuh bulan lalu.
Gelombang mega aktivisme yang bermula pada bulan lalu itu turut mendapat perhatian komuniti antarabangsa selepas ia mengekalkan momentum hingga kini.
Dari Amerika Syarikat (AS) hingga ke benua lain, matlamat utama demonstrasi itu adalah serupa sebagai tanda solidariti dengan Palestin.
Menerusi wawancara baru-baru ini, Profesor Robert Cohen di New York University menyifatkan ia sebagai gerakan protes pelajar terbesar pada abad ke-21.
“Ia menunjukkan betapa perang ganas itu mengecewakan golongan penuntut universiti di sini. Mereka juga mengkritik pemerintah AS kerana menyalurkan bantuan ketenteraan kepada Israel,” ujarnya.
Protes yang mengutuk kezaliman rejim Zionis itu dicetuskan oleh kumpulan pelajar Columbia University di AS di mana mereka turut mendirikan khemah yang menjadi simbol demonstrasi tersebut.
Mereka juga menuntut pentadbiran universiti supaya menarik diri daripada syarikat yang ada kaitan dengan rejim Tel Aviv.
Tunjuk perasaan itu kemudiannya merebak ke lebih 130 kampus lain di seluruh negara termasuk institusi pengajian tinggi terkemuka seperti Harvard, Yale, Stanford, MIT dan University of California, Los Angeles.
Gerakan itu bagaimanapun berdepan halangan pihak berkuasa yang melancarkan tindakan kekerasan ke atas peserta protes secara aman itu.
Menurut data Axios, lebih 2,900 individu telah ditahan di 61 kampus di seluruh AS.
Siri protes itu juga tidak sia-sia selepas rangkaian berita, The Intercept melaporkan kira-kira tujuh universiti bersetuju dengan sebahagian tuntutan kumpulan pelajar tersebut.
Demonstrasi pro-Palestin serupa turut melanda Kanada dan Mexico serta beberapa negara Eropah.
Di Britain, kumpulan penuntut berkenaan bertindak mendirikan khemah di institusi pengajian tinggi utama seperti Cambridge dan Oxford bagi menuntut pentadbiran universiti supaya tidak lagi terlibat dengan firma yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Di Perancis, pelajar sekolah menengah turut mengadakan protes pada awal bulan lalu bagi menuntut usaha pemerintah untuk melaksanakan gencatan senjata segera di Gaza dan pengiktirafan negara Palestin.
Di Jerman, kumpulan penuntut dilaporkan bertempur dengan pasukan keselamatan hingga menyebabkan penahanan sejumlah penunjuk perasaan dan pelajar universiti.
Demonstrasi anti-Israel itu juga bergema di rantau Asia Pasifik dan Asia Barat.
Di Korea Selatan, protes tersebut dilancarkan di Seoul National University anjuran kelab solidariti Palestin digelar Soobak dalam bahasa tempatan yang bermaksud buah tembikai (simbol Palestin).
Sejak beberapa minggu lalu, kumpulan pelajar di negara jiran Palestin seperti Mesir dan Lubnan juga mula bangkit menyertai gerakan protes global tersebut. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!