Wanita muda kini suka lelaki bekerjaya, tidak kisah umur sudah tua
MERAK Jalanan ada beberapa rakan, senang cerita wanita muda, lepasan universiti awam, berumur dalam lingkungan 22 dan 25 tahun, yang baru berjinak-jinak dalam dunia pekerjaan.
Masing-masing pula sudah mempunyai kenderaan. Ada kereta Toyota, Honda dan paling low, Perodua Axia full spec.
Teringat pula zaman Merak Jalanan mula bekerja, hanya dengan motosikal Yamaha SS2 berwarna merah.
Lain sungguh keadaan zaman sekarang dengan zaman awal tahun 2000.
Bukan itu yang Merak Jalanan ingin cerita tetapi tentang corak pemikiran wanita zaman sekarang dengan zaman sebelum ini.
Pernah Merak Jalanan membuka topik tentang pasangan hidup mereka, lelaki bagaimana, latar belakang, soal pendidikan dan sebagainya.
Paling mencuri tumpuan Merak Jalanan adalah jawapan seorang rakan ini, berasal dari Kuala Lumpur, yang hidupnya tidak pernah bermain lumpur selepas hujan.
Katanya, zaman sekarang, wanita muda sepertinya tidak lagi memikirkan pasangan hidup yang mahu susah senang bersama-sama.
Sekarang ini katanya, perlu senang dari awal perkahwinan sehinggalah ke hujung nyawa supaya hidup dalam keadaan hari ini, dengan tekanan ekonomi, gaji yang rendah, kos sara hidup yang tinggi, boleh menyebabkan institusi kekeluargaan itu goyah.
Jadi katanya, kebahagiaan perlu dibeli dengan wang ringgit, bukan lagi seperti kata-kata pujangga lama, wang tidak mampu membeli kebahagiaan.
Daripada penerangannya itu, dia lebih memilih lelaki yang telah stabil ekonomi, tidak kisah umur sudah tua ataupun sudah mempunyai isteri. Tetapi katanya, lelaki seperti itu sukar ditemui.
Mungkin bukan semua wanita sama corak pemikiran dan mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat wanita itu tetapi pada Merak Jalanan, apa yang dirancang itu adalah soal kehidupan dirinya sendiri.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!