Lori terbakar rempuh treler, penumpang maut
BENTONG - Seorang lelaki maut apabila lori yang dipandu seorang remaja berusia 18 tahun terbakar selepas merempuh treler muatan habuk kayu di Lingkaran Tengah Utama (LTU) hala Barat di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa iaitu penumpang lori tersebut, Mohd Ghazi Ab Razab, 53 meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, hasil siasatan awal, lori itu dari Kota Bharu, Kelantan menghala ke Pelaburan Klang, Selangor.
"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang bahagian belakang treler membawa muatan 50 tan yang berada di tepi jalan sebelah kiri kerana mengalami kerosakan.
"Akibat kemalangan tersebut, kenderaan berat itu terbakar di keseluruhan di bahagian," katanya dalam satu kenyataan.
Ujar beliau, siasatan pihak polis turut mendapati pemandu lori tiada lesen memandu.
Jelas Zaiham, pemandu lori terbabit mengalami kecederaan patah paha dan dibawa ke Hospital Bentong manakala pemandu treler berusia 47 tahun tidak mengalami kecederaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Mana-mana pihak yang melihat kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!