Remaja rentung terperangkap dalam asap tebal
RANAU - Seorang remaja perempuan yang terperangkap dalam asap tebal ditemukan rentung akibat kebakaran di rumahnya di Kampung Lasing, di sini pada awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mayat mangsa berusia 15 tahun ditemukan di bahagian tingkat bawah rumah yang terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.36 pagi.
Menurutnya, seramai lapan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tiga kilometer dari BBP Ranau.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang terbakar 100 peratus.
"Operasi memadamkan api segera dilakukan dengan menggunakan sumber air dari jentera bomba," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan terdapat seorang mangsa remaja perempuan ditemui rentung dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Difahamkan, ketika kejadian bapa saudara mangsa sempat keluar dari rumah manakala mangsa pula terperangkap di dalam disebabkan asap yang tebal.
"Operasi ditamatkan pada jam 4.26 pagi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!