Malaysia hargai kesediaan Hamas bebas tahanan
PUTRAJAYA - Malaysia menghargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa.
Perkara itu dizahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu dengan deligasi Hamas yang diketuai oleh pemimpinnya, Ismail Haniyeh dalam sesi taklimat di Qatar.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia mendesak agar Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian.
"Malaysia akan terus memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan Zionis ke atas Rafah, sementelahan menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan," katanya menerusi hantaran di laman sosial pada Selasa.
Tambah beliau, pada sesi taklimat itu, deligasi Hamas memaklumkan situasi getir di Gaza dan Rafah semakin menggusarkan.
Anwar juga menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis baru-baru ini.
"Sejak konflik meletus lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal, kerana kekejaman rejim Zionis," jelasnya.
Anwar tiba di Doha pada Isnin sempena lawatan sulung beliau ke negara Asia Barat itu.
Turut mengiringi Anwar dalam lawatan rasmi tiga hari itu adalah Menteri Luar; Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan, Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!