Agihan 140,000 tan beras di seluruh negara lancar
SERDANG - Agihan sebanyak 140,000 tan beras di seluruh negara berjalan dengan lancar.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, walaupun terdapat kelompongan namun perkara tersebut dapat diatasi dengan baik.
Menurutnya, usaha tersebut mula menunjukkan hasil positif apabila rungutan daripada orang awam semakin berkurangan.
“140,000 metrik beras sudah ada di pasaran dan walaupun terdapat kelompongan tetapi pihak pengeluar dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat mengatasi masalah ini.
“Rungutan yang kita terima sekarang agak berkurangan berbanding di peringkat awal dahulu,” katanya dalam dalam Majlis Konvesyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi 2024 di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini pada Selasa.
Pada 24 Mac lalu, kerajaan mengumumkan empat inisiatif untuk mengatasi isu kekurangan beras dalam pasaran.
Inisiatif tersebut turut memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang dibeli pengilang berjumlah 140,000 tan diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta.
Dalam pada itu, menurut Mohamad, dengan pencapaian sedia ada negara mampu mencapai 80 peratus kadar sara diri (SSR).
Ujarnya, masalah bekalan makanan terutama beras perlu diatasi dengan baik bagi memastikan ia cukup untuk menampung keperluan rakyat.
“Jika kita tidak mengatasi masalah ini dengan baik, negara akan berhadapan dengan masalah beras dan sukar mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus SSR bagi menampung permintaan dalam negara,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!