Waswas ketika solat, apa perlu dilakukan?

KETAHUI cara untuk membuang rasa waswas itu tanpa perlu membatalkan solat. -Foto: Canva
KETAHUI cara untuk membuang rasa waswas itu tanpa perlu membatalkan solat. -Foto: Canva
A
A
A

TATKALA sedang mendirikan solat, rasa waswas datang menerpa tanpa diundang.

Situasi itu kadangkala menyebabkan kita terganggu dan tercongak-congak sendiri jumlah rakaat yang sudah ditunaikan.

Demikian antara situasi yang dihadapi oleh segelintir orang apabila diganggu ketika menghadap ALLAH SWT. Disebabkan masalah itu, ada yang terus memberhentikan solat, kemudian mendirikannya semula kerana bimbang ia membatalkan ibadah dikerjakan.

Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, ragu-ragu atau waswas semasa solat tidak membatalkan sembahyang yang ditunaikan.

INFOGRAFIK tentang waswas ketika solat yang dikongsikan di laman sosial Facebook Jabatan Mufti Negeri Selangor.
INFOGRAFIK tentang waswas ketika solat yang dikongsikan di laman sosial Facebook Jabatan Mufti Negeri Selangor.

“Bahkan, solat itu boleh diteruskan dan rasa waswas berkenaan boleh dibuang tanpa membatalkan solat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi infografik yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

Seandainya kita waswas tentang bilangan rakaat, Jabatan Mufti Negeri Selangor menyarankan agar kita memilih jumlah rakaat paling sedikit.

Artikel Berkaitan:

“Misalnya kita ragu-ragu sama ada sudah berada dalam rakaat keempat atau masih pada rakaat ketiga, maka kita perlu memilih rakaat paling sedikit iaitu rakaat ketiga.

“Kemudian, lengkapkan sampai cukup empat rakaat. Akhir sekali, disunatkan untuk sujud sahwi setelah selesai membaca tahiyat akhir sebelum salam,” katanya.

Bagaimapa pula jika rasa waswas itu datang selepas selesainya solat? Adakah sembahyang itu perlu diulangi semula?

RAGU-RAGU atau waswas semasa solat tidak membatalkan sembahyang yang ditunaikan. -Foto: Canva
RAGU-RAGU atau waswas semasa solat tidak membatalkan sembahyang yang ditunaikan. -Foto: Canva

Menjawab persoalan tersebut, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan, rasa sangsi terhadap sahnya sesuatu ibadah selepas ia selesai ditunaikan tidak menjejaskan kesahan solat yang dikerjakan.

“Ini bermakna, apabila solat telah selesai didirikan dengan sempurna rukun dan syarat-syaratnya, kemudian datang rasa ragu-ragu terhadap status solatnya, ia tidak akan menjadikan sembahyang itu batal atau tidak sah.

“Begitu juga halnya jika seseorang waswas semasa seseorang sedang menunaikan solat sebagaimana dijelaskan tadi.

“Ini kerana hukum tidak dapat dibina atas dasar ragu-ragu, waswas, syak atau sangkaan,” jelasnya.

Ia sebagaimana dinyatakan secara jelas dalam firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran.” (Surah Yunus, ayat 36)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!