Teknologi AI perlu jadi inovasi utama tingkat pertanian negara
SERDANG - Teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu menjadi inovasi utama dalam meningkatkan pembangunan pertanian di Malaysia dari masa ke masa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha tersebut mampu menghasilkan pembaharuan benih dan baka ternakan baharu bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran dalam negara.
Menurutnya, dengan kerjasama daripada pihak swasta dan badan korporat bukan hanya dapat meningkatkan pengeluaran makanan, tetapi juga menjimatkan kos.
“Kita perlu meneroka dan terus mempergiatkan penggunaan teknologi baharu dalam pertanian terutama AI. Negara China juga sudah mula menggunakan teknologi bagi mengawal hasil pertanian dan penternakan mereka.
“Penggunaan teknologi mampu mengubah struktur dalam menghasilkan sumber makanan dan boleh membantu meningkatkan keterjaminan makanan dalam negara,” katanya dalam Majlis Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi 2024 di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Selasa.
Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Akma Ngah Hamid, perkembangan teknologi membantu golongan penternak meningkatkan prestasi penternakan mereka.
Tambah beliau, menerusi konvensyen itu idea inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik dan pengusaha industri dapat diketengahkan bagi meningkatkan pengeluaran dalam negara.
Ujarnya, dengan kerjasama pelbagai pihak dan agensi dapat mengembangkan lagi potensi pertanian secara holistik selain membudayakan inovasi di setiap rantaian perkhidmatan.
“Pelaksanaan Hari Inovasi 2024 juga merupakan inisiatif ke arah sasaran pemodenan industri ternakan.
“Kita mahu terus memperkembangkan lagi industri ternakan negara secara holistik di samping membudayakan inovasi,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!