Belum bincang pengganti Speaker Dewan Negara - Fadillah

Fadillah bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) pertama bagi 2024 di Bangunan Perdana Putra pada Selasa. Foto Bernama
Fadillah bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) pertama bagi 2024 di Bangunan Perdana Putra pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan belum membincangkan pengganti bagi mengisi kekosongan jawatan Speaker Dewan Negara susulan kematian penyandangnya, Datuk Mutang Tagal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelantikan ke jawatan itu terletak di bawah budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Perdana Menteri akan persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara di sini pada Selasa.

Menurut Fadillah, tarikh mesyuarat berkaitan perkara tersebut juga belum diputuskan.

"Belum ada. Saya tidak tahu (bila diadakan). Saya tidak tahu sama ada Anwar bincang dengan mana-mana pihak kerana beliau sibuk di Qatar," katanya.

Ditanya mengenai adakah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mencalonkan nama daripada parti itu memandangkan kerusi berkenaan milik gabungan parti berkenaan, Fadillah berkata, ia perlu dirujuk kepada Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

"Saya tidak tahu (berapa ramai yang boleh diangkat sebagai calon), ia belum dibincangkan," katanya.

Pada Isnin, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, meletakkan harapan agar pengganti mendiang dilantik dalam kalangan wakil Sarawak bagi menghabiskan tempoh penggal yang berbaki tiga tahun lagi.

Artikel Berkaitan:

Mendiang Mutang disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.46 pagi Jumaat lalu selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 6 Mei lalu, setibanya dari Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.

Mutang, 70, mencipta rekod sebagai Orang Ulu pertama mengangkat sumpah jawatan itu pada 19 Februari lalu sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!