Runtuhan tanah, batu di kaki Gunung Inas tiada kaitan tragedi aliran puing

Siasatan dilakukan Azizan (kiri) bersama pelbagai agensi berkaitan. Foto APM
Siasatan dilakukan Azizan (kiri) bersama pelbagai agensi berkaitan. Foto APM
A
A
A

BALING - Kejadian runtuhan baharu membabitkan serpihan tanah dan batu di kaki Gunung Inas sehingga mengakibatkan banjir kilat di Kampung Iboi di sini tiada kaitan dengan tragedi aliran puing yang berlaku dua tahun lalu.

Sebaliknya, Pegawai Daerah Baling, Datuk Abdul Gafar berkata, runtuhan terbabit sebenarnya berpunca daripada jumlah taburan hujan yang tinggi sehingga menyebabkan rumah penduduk ditenggelami air September tahun lalu.

"Sebabnya berpunca dari hujan dengan kadar yang tinggi pada 27 September lalu, banyak tempat ada caruk... Ini tak ada kena mengena dengan projek musang king atau tragedi, ini kawasan lain," katanya selepas membuat siasatan ke lokasi runtuhan pada Selasa.

Hadir sama turun padang, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Azizan Ali.

Agensi berkaitan melakukan pemerhatian dan siasatan ke lokasi runtuhan. Foto APM
Agensi berkaitan melakukan pemerhatian dan siasatan ke lokasi runtuhan. Foto APM

Dalam masa sama, siasatan turut disertai Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi lain yang berkaitan.

Abdul Gafar memaklumkan, siasatan lebih terperinci akan dilakukan JMG termasuk kemungkinan berlaku runtuhan lebih besar selepas ini.

Katanya, beliau sudah membawa perkara itu ke mesyuarat pengurusan bencana daerah dan negeri bagi memberi perhatian berhubung kejadian.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, penduduk terjejas, Zulkifli Ahmad, 61, berkata, jarak runtuhan yang berlaku hanya kira-kira 150 meter sahaja dengan rumah, mengundang kebimbangan.

"Tiada kaitan dengan lokasi tragedi aliran puing dan projek musang king sebab jarak ke sana kira-kira 10 kilometer, runtuhan ini sebab asalnya ada caruk (anak sungai) yang sebelum ini laluannya kecil tetapi menjadi besar sejak September lalu.

"La (sekarang) ni kami cukup bimbang bila hujan lebat, sebab hari tu naik sampai paras paha, tak pernah-pernah jadi runtuh sekali dengan tanah dan selut," katanya.

Abdul Gafar (dua dari kiri) dan Azizan (dua dari kanan) turun padang menyiasat lokasi kejadian runtuhan di Kampung Iboi. Foto APM
Abdul Gafar (dua dari kiri) dan Azizan (dua dari kanan) turun padang menyiasat lokasi kejadian runtuhan di Kampung Iboi. Foto APM

Bagaimanapun, Zulkifli berharap tindakan segera dapat dilakukan pihak berkaitan agar dapat menanggani perkara itu supaya mengelakkan kejadian lebih buruk.

"Takut benda lebih besar jika berterusan tanah turun, bimbang hempap rumah atau kemalangan jiwa seperti banjir aliran puing dua tahun lalu tetapi saya juga berterima kasih kepada semua agensi yang buat siasatan hari ini untuk tindakan selanjutnya,"katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kebimbangan penduduk Kampung Iboi akibat berlaku runtuhan serpihan tanah dari kaki Gunung Inas susulan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak hujung tahun lalu.

Berdasarkan rekod, kejadian banjir puing di Kampung Iboi 4 Julai 2022 telah meragut tiga nyawa dan menyebabkan banyak kerosakan sehingga memusnahkan rumah dan dusun penduduk.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!