UMNO Terengganu bantu noktahkan miskin tegar

UMNO Terengganu akan melakukan gerak kerja bagi membantu agensi Persekutuan dan negeri menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini dalam tempoh dua bulan akan datang.Gambar hiasan
UMNO Terengganu akan melakukan gerak kerja bagi membantu agensi Persekutuan dan negeri menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini dalam tempoh dua bulan akan datang.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu akan melakukan gerak kerja bagi membantu agensi Persekutuan dan negeri menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini dalam tempoh dua bulan akan datang, kata pengerusinya, Datuk Rozi Mamat.

Beliau berkata, bagi memastikan hasrat menoktahkan kemiskinan tegar sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat Terengganu minggu lepas, pihaknya akan menjejaki 1,663 keluarga di negeri ini yang masih berada dalam kelompok miskin tegar.

"Saya akan memohon melalui UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) dan Pejabat Pembangunan Persekutuan untuk melihat keseluruhannya serta bagaimana kita boleh menggerakkan seberapa segera melalui agensi-agensi persekutuan dan negeri.

"Kita kena fokus dan pergi terus kepada mereka (keluarga miskin tegar) dan lihat bantuan apa yang diperlukan seperti pembaikan rumah, meningkatkan pendapatan isi rumah dan sebagainya. Kalau kita bagi bantuan ‘berterabur’ dan tidak fokus jadi ia (menoktahkan miskin tegar) susah untuk dilaksanakan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Rozi berkata, UMNO Terengganu sebelum ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membebaskan isi rumah di negeri ini daripada belenggu kemiskinan termasuk menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Majlis Amanah Rakyat dan Felcra.

Ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus Khamis lepas, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan berazam menoktahkan kemiskinan tegar di Terengganu dalam tempoh dua bulan akan datang.

Setakat 2 Mei katanya, terdapat 1,663 keluarga di negeri ini masih berada dalam kelompok miskin tegar.

Agensi-agensi Kerajaan Persekutuan menurut Perdana Menteri telah diarahkan untuk membuat gerak kerja dengan kerajaan negeri, bagi memastikan kemiskinan tegar di Terengganu dapat dinoktahkan dalam tempoh yang ditetapkan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!