SSL ternakan ruminan masih bawah 20 peratus
SERDANG - Kadar tahap sara diri (SSL) bekalan ruminan dalam negara masih berada di bawah 20 peratus.
Perkara itu turut diakui Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, namun menerusi pelan yang dibuat oleh kerajaan, perkara tersebut dapat diatasi dengan baik.
Beliau berkata, kerajaan yakin kadar SSL itu mampu ditingkatkan kepada 50 peratus selaras dengan Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara menjelang 2030.
"Kita sedang berusaha ke arah itu, tetapi untuk akuakultur pula kita hampir mencapai sasaran cuma beras masih sekitar 60 hingga 62 peratus.
"Sehingga kini dalam bidang ruminan kita masih jauh berada di bawah 20 peratus dengan bergantung kepada import yang tinggi dari Australia, New Zealand dan India,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi 2024 di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, menurut Mohamad, bagi meningkatkan SSL daging, kerenah birokrasi perlu segera ditangani oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ujarnya, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu dilaksanakan bagi membantu lebih banyak pembukaan kawasan ternakan baharu untuk menampung permintaan ruminan dalam negara.
“Penternak yang ingin meneroka bidang ruminan mempunyai peluang besar dalam negara ini.
“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bukan hanya pihak veterinar sahaja tetapi kementerian lain juga penting untuk meningkatkan hasil daging dalam negara,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengulas Malaysia akan meneruskan penanaman bawang bagi memenuhi permintaan di negara ini.
Menurutnya, walaupun negara India sudah mula memberi keizinan untuk mengeksport semula bawang namun Malaysia akan terus menghasilkan tanaman tersebut.
“Adakah kita akan menghentikan penanaman bawang di negara ini? Saya kata teruskan kerana hak untuk hentikan eksport bergantung kepada negara pengeluar.
“Kita perlu bersedia kerana negara pengeluar lain juga mempunyai kepentingan untuk rakyat mereka,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!