Malaysia negara pertama lengkapkan kontrak sistem E-Haj

Syed Salleh (depan tengah) ketika hadir pada Majlis Ta'aruf atau ramah mesra antara barisan kepimpinan Syarikat Mashariq.
Syed Salleh (depan tengah) ketika hadir pada Majlis Ta'aruf atau ramah mesra antara barisan kepimpinan Syarikat Mashariq.
A
A
A

MAKKAH - Malaysia sekali lagi melakar sejarah dalam soal pengurusan haji apabila menjadi negara pertama melengkapkan semua kontrak dalam sistem E-Haj yang membolehkan Tabung Haji (TH) diberi peluang memilih tapak perkhemahan di Masyair.

Ketua Rombongan Haji 1445H/2024, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, Malaysia juga berjaya menjadi negara pertama menerima kelulusan visa haji untuk tahun ini selepas pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membuka permohonan lebih awal menerusi Sistem Nusuk.

"Tabung Haji berazam dan terus berazam untuk meneruskan komitmen serta menjadi contoh kepada negara lain. Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama, komitmen dan panduan daripada pihak Mashariq.

“Kemantapan kerja sebagai satu pasukan adalah penting dalam menyantuni dhuyufurrahman ketika kita berhadapan dengan operasi haji yang mencabar, lebih-lebih lagi dengan pelbagai pembaharuan yang akan diperkenalkan oleh kedua pihak untuk keselesaan jemaah haji," katanya.

Syed Salleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH) berkata demikian ketika berucap di Majlis Ta'aruf atau ramah mesra antara barisan kepimpinan Syarikat Mashariq dengan pengurusan Rombongan Haji Malaysia sebagai tanda mahabbah kedua-dua pihak dalam menyantuni jemaah haji musim ini.

Syed Salleh
Syed Salleh

Turut hadir Pengerusi Syarikat Mashariq Holdings Adnan Hussin Mandora, Timbalan Pengerusi Syarikat Mashariq Holdings Abdul Rahman Abdullah Ashour, Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan Mohamed Heikal Mohamed Yusuff dan Timbalan Ketua Rombongan Haji Perubatan Abdul Marsudi Manah.

Syed Salleh berkata, permuafakatan dan pertemuan dalam Majlis Ta'aruf itu bertujuan merapatkan lagi ukhuwah dan silaturahim untuk terus saling membantu sebagai satu pasukan dalam menyantuni tetamu ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ini kerana kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab besar dalam menunaikan amanah mengendali jemaah haji Malaysia pada setiap musim haji.

"Saya yakin kerjasama erat yang terjalin sejak sekian lama di antara kedua-dua Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia akan berterusan dan menjadi lebih akrab. Insya-ALLAH, kita akan terus berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan kepada tetamu ALLAH SWT di masa-masa akan datang," katanya.

Pada masa sama menurutnya, TH sentiasa meningkatkan program latihan kepada bakal haji Malaysia sebelum mereka ke Tanah Suci di samping program di Tanah Suci.

“Pelbagai medium latihan termasuk kursus haji secara online telah disediakan bagi memastikan jemaah haji sentiasa mendapat maklumat dan panduan.

“Bukan sahaja berkaitan ibadat tetapi panduan kendiri dan peradaban kepada bakal haji, termasuk menjaga kesihatan dan mengekalkan kebersihan di persekitaran di mana mereka berada,” katanya.

Syed Salleh turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di bawah pemerintahan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman bin Abdul Aziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohamad bin Salman, yang menganugerahkan kuota penuh kepada rakyat Malaysia dalam melaksanakan ibadah haji musim 1445H.

"Kami amat menghargai komitmen di pihak kerajaan Arab Saudi melalui pelbagai pihak terutamanya Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di bawah kepimpinan Menterinya Dr Tawfiq Al-Rabiah," katanya.

Syarikat Mashariq atau dahulunya dikenali sebagai Muasassah Tawafa Asia Tenggara merupakan syarikat yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan dan perkhidmatan asas untuk jemaah haji Malaysia, khususnya kemudahan ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina pada waktu puncak ibadah haji atau masyair.

Hal itu merangkumi perkhidmatan serta kemudahan ketika di masyair seperti khemah penginapan, penghawa dingin, makan minum, pengangkutan dan pergerakan jemaah haji antara Makkah, Arafah, Muzdalifah serta Mina.

Selain itu, kos sambutan jemaah haji Malaysia memasuki Makkah dan penghantaran mereka keluar dari Makkah sama ada ke Madinah mahupun Malaysia juga dikendalikan oleh pihak Mashariq.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!