Isu 3R: Keberkesanan penubuhan badan, sistem khas pantau PRK KKB

Aaron Ago Dagang
Aaron Ago Dagang
A
A
A

KUALA LANGAT - Kementerian Perpaduan Negara menubuhkan satu badan dan sistem khas bagi memantau isu-isu yang sensitif khususnya membabitkan isu 3R (raja, agama dan kaum).

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang juga percaya keberkesanan sistem tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

"Kita ada (sistem ini) di bawah sistem e-sepakat, di situ kita akan kumpulkan semua isu, kita kerjasama dengan polis dan isu yang kita tak dapat selesaikan, kita ada pengantara bagi isu berkenaan.

"Isu itu biasanya yang tidak begitu 'panas' yang boleh dikompromi, kita akan selesaikan, kalau libatkan jenayah kita serah kepada pihak polis, kita tidak ada kuasa lebih daripada pengantara," katanya.

Aaron berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan isu 3R yang mainkan pembangkang tidak berjaya mempengaruhi pengundi pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu baru-baru ini.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif di Dewan Jugra, Banting di sini pada Selasa.

Pada majlis tersebut sebanyak 116 buah Rukun Tetangga (RT) dijadikan sebagai perintis kepada model RT Progresif dari jumlah keseluruhan 8,438 RT di seluruh negara.

Aaron (duduk tengah) pada Majlis Peluncuran Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif di Dewan Jugra, Banting di sini pada Selasa.
Aaron (duduk tengah) pada Majlis Peluncuran Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif di Dewan Jugra, Banting di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan membabitkan isu 3R sepanjang tempoh 14 hari PRK di DUN Kuala Kubu Baharu berlangsung sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, hasil pemantauan polis mendapati tiada isu sensitif dibangkitkan mana-mana pihak pada kempen berkenaan selain daripada isu pembangunan.

Aaron menambah, pihak kementerian juga sentiasa berusaha untuk bersama-sama semua pihak bagi meredakan keadaan dengan memberikan saranan untuk sesuatu isu 3R.

"Namun, pihak media juga perlu membantu, kalau boleh jangan perbesarkan (isu-isu berkaitan) lebih bagus juga redakan keadaan sebab pelbagai maklumat cepat tersebar khususnya di media sosial," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!