Tak wajar pertikai Gerakan, kesetiaan MCA harus dipersoal - Pemuda Gerakan

Lee Boon Sian
Lee Boon Sian
A
A
A

ALOR SETAR - MCA tidak wajar mempertikai kesetiaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dalam Perikatan Nasional (PN), sebaliknya kesetiaan MCA dalam Barisan Nasional (BN) yang harus dipersoalkan.

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Pusat, Lee Boon Sian berkata, ini kerana MCA tidak bersama BN dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, sedangkan Gerakan tetap turun padang membantu calon PN biarpun secara tradisinya ditandingi Gerakan.

Menurutnya, disebabkan itu Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong tidak layak untuk bercakap mengenai kesetiaan parti, malah beliau sendiri meninggalkan Gerakan apabila parti itu tewas teruk dalam pilihan raya lalu.

“Choo Seong tidak layak beri komen berkaitan kesetiaan dalam parti. Saya ingin bertanya kepada beliau, ingat lagikah nombor keahlian dalam Gerakan. Bukankah anda juga lompat parti sertai MCA setelah melihat kemenangan PRK di Melaka dan Johor, sedangkan ketika itu parti berdepan saat getir. Waktu itu, pernahkah anda terfikir mengenai kesetiaan ini?” katanya di sini pada Selasa.

Choo Seong sebelum ini menegaskan MCA masih setia bersama BN sekali gus menolak kerjasama semula dengan Gerakan, selain meminta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau agar jangan cuba meretakkan hubungan sesama parti komponen BN.

Pada 8 Mei lalu, Dominic dilaporkan berkata, Gerakan bersedia menjalinkan kerjasama semula dengan MCA jika sekutu lamanya itu tidak lagi mahu bersama BN.

Katanya, Gerakan terbuka menerima mana-mana parti yang berhasrat bekerjasama dengan PN termasuk MCA, jika mereka dapat menerima ideologi perjuangan gabungan itu.

Kenyataan Dominic itu dibuat susulan tindakan MCA memberi amaran kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak membuat keputusan bersendirian mengenai rakan kerjasama gabungan itu menjelang PRU16.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, banyak keputusan dibuat UMNO bersifat satu pihak, termasuk hasrat Ahmad Zahid agar kerjasama BN dengan PH diteruskan selepas PRU16.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut mengingatkan Ahmad Zahid bahawa MCA dan MIC masih komponen BN, dan sebarang keputusan perlu dibuat bersama. Sekiranya UMNO berdegil untuk tetap bersama DAP pada PRU16, MCA tidak teragak-agak untuk bergerak solo.

Dalam pada itu, Boon Sian berkata, Gerakan tidak mempunyai masalah dengan MCA, setelah sekian lama menjadi komponen parti BN, biarpun wujud perselisihan namun hubungan dijaga dengan baik.

“Gerakan-MCA tak ada masalah pun, tidak usahlah Choo Seong mahu tunjuk hero dengan ‘membelasah’ Gerakan kononnya tidak setia.

“Masih ingat atau tidak, betapa yakinnya UMNO setelah menang PRK di dua negeri, kemudian Presidennya sendiri desak Perdana Menteri ketika itu yang juga dari parti sendiri untuk bubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

“Ketika itu, ramai yakin UMNO akan memenangi sokongan Melayu semula. Pada masa itulah, Choo Seong meninggalkan Gerakan dan sertai MCA,” jelasnya.

Menurutnya lagi, UMNO kini sedang bersekongkol dengan DAP, menyebabkan wujud persoalan adakah kesetiaan MCA dihargai.

“Saya tidak pasti sama ada itu suatu bentuk kesetiaan atau sebaliknya takut meninggalkan BN kerana sokongan MCA juga datang daripada kekuatan UMNO, termasuk di kedua-dua kerusi Parlimen yang disandang.

“Jadi usah terlalu lantang, jika benar-benar berani, sepatutnya MCA letak calon bertanding di Kuala Kubu Baharu menentang calon DAP, bukan sekadar mahukan publisiti dengan bercakap kosong,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!