ICW, BuildXpo 2024 sasar hasil jualan RM1 bilion
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan Malaysia International Building and Construction Industry Exhibition (BuildXpo) 2024 disasar mencapai hasil jualan sebanyak RM1 bilion ketika pameran berlangsung pada 22 hingga 24 Oktober tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia merupakan program utama serantau melibatkan rangkaian, inovasi dan perkembangan dalam sektor pembinaan.
"Kecekapan industri pembinaan terletak pada kapasitinya untuk menarik dan memperkasakan kemasukan bakat yang dinamik. Program ini adalah satu platform penting dalam membuka pelbagai bidang kerjaya dalam sektor tersebut untuk generasi muda.
"Tahun lalu hasil jualan mencecah sehingga RM494.3 juta iaitu RM376.5 juta daripada lawatan perdagangan dan RM117.8 juta daripada aktiviti Padanan Perniagaan Antarabangsa.
"Bagi 2024 dengan keadaan struktur industri negara yang stabil sekarang, saya yakin kita mampu memperoleh hasil jualan sebanyak RM1 bilion," katanya ketika sidang akhbar di Majlis Pelancaran ICW dan BuildXpo 2024 pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Ketua Eksekutif I CIDB, Razuki Ibrahim; Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd; Richard Teo; pasukan pengurusan kanan CIDB dan tetamu kehormat lain.
Mengulas lanjut Alexander berkata, sasaran pempamer tahun ini juga meningkat iaitu daripada 200 kepada 500 penglibatan daripada pelbagai negara lain.
Ujarnya, sesi kali ini ditetapkan untuk menarik kira-kira 25 pembeli sekurang-kurangnya daripada 10 pasaran membabitkan China, Thailand, Indonesia, Singapura, Rusia, Zambia, Zimbabwe, Korea, Jepun dan India.
"Ini tujuan pelancaran awal dilakukan, kita mahu menarik lebih banyak negara asing untuk sertai pameran yang akan diadakan pada Oktober. Memandangkan ia merupakan program antarabangsa, diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat hadir merasmikannya.
"ICW dan BuilXpo 2024 akan mempamerkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang komprehensif daripada pelbagai sektor, termasuk teknologi pembinaan, jentera, perisian, Sistem Binaan Berindustri (IBS), peralatan, bahan, sistem bangunan pintar, penyelesaian automasi serta perkhidmatan," jelasnya.
Dalam pada itu Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Mohd Zaid Zakaria memaklumkan, keluasan tempat pameran akan ditingkatkan kepada 10,000 kilometer persegi bagi membolehkan 500 gerai dibuka ketika program berlangsung.
Menurutnya, dengan tema 'Membayangkan Masa Depan Pembinaan', ia melibatkan faktor kejayaan utama seperti produktiviti, daya saing, profesionalisme, keselamatan, kualiti dan kemampanan.
"Kami menjemput peserta industri ke ICW dan BuildXpo 2024 untuk melihat sendiri produk, metodologi dan perkhidmatan termaju, serta merebut peluang untuk meningkatkan rangkaian termasuk kerjasama dalam perniagaan.
"Edisi tahun ini akan disokong oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan persatuan lain termasuk Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM), Institut Bangunan Bertauliah serta Institut Arkitek Malaysia (PAM).
"Kerjasama dengan beberapa syarikat gergasi industri seperti Gamuda, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan YTL Cement Berhad (YTL) memainkan peranan penting dalam kejayaan kami," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!