Pegawai kadet TLDM jadi 'target' pegawai semasa latihan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa, mendiang J. Soosaimanicckam menjadi target (sasaran) pegawai-pegawai semasa mangsa menjalani latihan sebagai pegawai kadet di KD Sultan Idris, Lumut.

Abdul Muiz Ramli, 31, yang kini bekerja sebagai jurutera kualiti sebuah syarikat swasta berkata, apabila si mati (Soosaimanicckam), tidak dapat melengkapkan latihan yang diberikan, mendiang kerap diasingkan oleh jurulatih bertugas.

"Saya rasa si mati memang di target pegawai-pegawai. Saya dengar mereka gelak-gelak apabila memantau Soosamanickam melakukan latihan-latihan yang diberikan.

"Apabila Soosamanickam diasingkan, dia akan diarah untuk menjalani latihan seperti push up dan star jump di bawah pengawasan leftenan muda,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya, dalam kes saman difailkan S. Joseph selaku plaintif terhadap 11 individu, antaranya kapten dan pegawai TLDM, Panglima TLDM, Majlis Angkatan Tentera Malaysia, Menteri Pertahanan dan Kerajaan Malaysia.

Semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Persekutuan (FC) Abdul Hakim Abdul Karim, saksi plaintif ketujuh itu berkata mengenai si mati menjadi sasaran pegawai-pegawai, adalah berdasarkan anggapannya dan bukannya fakta.

Abdul Hakim: Merujuk kepada pernyataan saksi Encik Muiz, mengenai di-target itu. Saya katakan jawapan ini hanya pandangan atau anggapan Encik Muiz.

Abdul Muiz: Kalau ikut di-target itu adalah pandangan saya.

Abdul Hakim: Encik Muiz ada nyatakan ‘Saya dengar mereka gelak-gelak’ itu adalah pandangan atau fakta dan Abdul Muiz menjawab: Itu fakta.

Artikel Berkaitan:

Saksi berkata Soosamanickam selalu dikelilingi tiga hingga empat Leftenan Muda, manakala pelatih lain hanya ada seorang sahaja pegawai yang memantau.

"Saya turut perasan bahawa lebih banyak Leftenan Muda yang mengawasi Soosaimanicckam berbanding pelatih-pelatih lain,” katanya.

Abdul Muiz berkata, beliau turut menjalankan latihan bersama-sama Soosamanickam, berikutan mereka ditempatkan dalam bahagian sama sejak mendaftar pada 12 Mei 2018.

Menerusi saman difailkan pada 19 Mei 2021, Joseph iaitu bapa mendiang mendakwa kesemua defendan cuai dengan tidak memberikan rawatan kecemasan sewaktu mangsa rebah pada hari kejadian, selain cuai untuk memantau kesejahteraan serta kesihatan Soosaimanicckam ketika sesi latihan.

Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Soosaimanicckam, yang merupakan Pegawai Kadet Graduan, disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut pada 19 Mei 2018 dan Mahkamah Koroner Ipoh pada 2023 memberikan keputusan terbuka berhubung inkues bagi menentukan punca kematiannya.

Koroner Ainul Shahrin Mohamad juga memutuskan punca kematian Soosaimanicckam adalah disebabkan edema pulmonari.

Perbicaraan di hadapan Hakim Idah Ismail bersambung 26 Jun ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!