Tangki bocor bongkar aktiviti seleweng diesel
KLANG - Kegiatan seleweng diesel terbongkar selepas tangki yang diguna untuk mengisi minyak terbabit bocor hingga melimpah di kawasan stesen minyak di Jalan Batu Belah dekat sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, sepasukan anggota polis yang melakukan penugasan ronda cegah kemalangan di sekitar Klang telah bergegas ke lokasi kejadian kira-kira jam 6.30 petang selepas menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah lori jenis Isuzu di sebuah stesen minyak telah mengalami kebocoran minyak diesel dipercayai daripada salah satu tong Intermediate Bulk Container (IBS) yang dimuatkan di dalam lori terbabit.
"Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori terbabit merupakan warga tempatan berusia 45 tahun, tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL).
"Siasatan awal dipercayai pemandu terbabit menjalankan kegiatan penyeludupan diesel," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, lelaki itu kemudiannya dibawa ke IPD Klang Utara untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Vijaya Rao berkata, polis telah mengambil tindakan saman di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu dan Seksyen 56(1)A akta yang sama kerana tiada lesen GDL.
Ujarnya, polis turut merampas lori terbabit, enam tong IBC berisi cecair diesel, peralatan pam dan hos sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.
"Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk hubungi balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut pihak polis," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!