Anak Malaysia tabur khidmat di Masjid Nabawi

Jemaah haji yang berpeluang menziarahi Raudah di Masjid Nabawi dinasihatkan agar tidak terlalu teruja dan sibuk mengambil gambar sehingga terlupa untuk melakukan ibadah yang sepatutnya yang dijanjikan Allah SWT sebagai tempat yang mustajab untuk berdoa itu. Foto Bernama
Jemaah haji yang berpeluang menziarahi Raudah di Masjid Nabawi dinasihatkan agar tidak terlalu teruja dan sibuk mengambil gambar sehingga terlupa untuk melakukan ibadah yang sepatutnya yang dijanjikan Allah SWT sebagai tempat yang mustajab untuk berdoa itu. Foto Bernama
A
A
A

MAKKAH - "Ibu... dhudhuk ibu, dhudhuk (duduk)!,” "ibu... khalas (cukup)!”, Hajjah... maju, maju!, "thoriq ya hajjah!”(keluar), itu antara teriakan biasa yang kedengaran setiap kali jemaah wanita menziarahi Masjid Nabawi, untuk menunaikan solat mahupun ketika menziarahi Raudah.

Di sebalik niqab yang hanya menampakkan sepasang mata tajam memerhati tingkah laku serta gelagat para jemaah, tiada siapa menyangka dalam kelibat petugas yang majoritinya berasal dari Arab Saudi, terselit dua beranak yang berasal dari Malaysia menjalankan tugas menjaga Raudah serta Masjid Nabawi.

Bagi Zuraini Mukri, 46, dari Selayang, Selangor bertugas lebih tujuh jam sehari di Raudah dan Masjid Nabawi sejak setahun lalu, memberi peluang kepadanya untuk berada lebih dekat dengan Rasulullah SAW, selain dapat melihat pelbagai gelagat manusia dari setiap pelosok dunia.

"Setiap hari, kerja saya akan melibatkan beberapa tugasan, sama ada di kaunter penerangan, di dalam kawasan Raudah atau kawasan lain sekitar Masjid Nabawi.

"Tanggungjawab saya lebih melibatkan kerja penterjemah untuk jemaah dari Indonesia, Malaysia, Brunei dan Thailand. Saya akan pastikan pengunjung mendapat maklumat lengkap dan patuh kepada arahan sewajarnya, apabila memasuki Raudah dan Masjid Nabawi,” kata ketika ditemui petugas media baru-baru ini.

Ibu kepada lapan orang anak itu yang kini menetap di Madinah bersama suaminya, Dr Noordin Othman, 53, berkata berhadapan dengan pelbagai gelagat jemaah, memerlukan dirinya sentiasa sabar dan adil dalam melayan tetamu di masjid yang penuh barakah itu.

"Saya selalu ingatkan diri saya, ada pelbagai karakter jemaah yang datang ke sini. Jadi saya perlu melayan mereka seperti biasa dan sama adil,” katanya.

Menceritakan pengalamannya menjaga Raudah, Zuraini berkata, ada dalam kalangan jemaah lebih tertumpu untuk mengambil video serta berswafoto, sedangkan masa yang terhad diperuntukkan untuk menziarahi ‘taman syurga’ itu, seharuskan difokuskan untuk berdoa dan solat sunat.

Artikel Berkaitan:

"Ada antaranya yang terus merakam video, berswafoto dan memuat naik dalam media sosial terlebih dahulu apabila diberi peluang untuk memasuki Raudah, walhal masa yang diberikan untuk beribadat dalam Raudah sangat suntuk,” jelasnya.

Sementara itu, anaknya Nur Afrina Noordin, 20, yang turut bekerja di Masjid Nabawi dan Raudah berkata, tugasnya di situ banyak mengajarnya mengenai ilmu kehidupan.

"Alhamdulillah, saya diberi peluang melihat dan mempelajari banyak ilmu tentang pelbagai ragam manusia yang datang ke sini,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!