[VIDEO] Akses lebih pantas kepada semua jemaah haji

A
A
A

MAKKAH - Jabatan Teknologi Maklumat, Tabung Haji (TH) akan memastikan kemudahan akses lebih pantas ke atas sebarang maklumat untuk semua jemaah dan petugas haji bagi Musim Haji 1445H/2024M.

Pengarah Teknologi dan Maklumat Haji, Ashraf Ahmad berkata, tahun ini adalah kali pertama pihaknya menggunakan Content Delivery Network yang merupakan sistem pengkomputeran awan untuk diaplikasikan dalam semua sistem TH.Menurutnya, antara aplikasi yang digunakan oleh petugas dan jemaah merangkumi i-Sihat, THiJari, Hajj Mobiliti dan sistem Induk.

“Jika dibandingkan dengan dahulu, kita capai pangkalan data yang berada di Malaysia. Ia mengambil masa untuk kembali ke Saudi iaitu lebih 300 milisaat (ms) berbanding menggunakan sekarang hanya sekitar 20ms.

“Untuk penambahbaikan sistem i-Sihat yang merupakan data-data kesihatan jemaah, kita telah boleh mengakses data-data dalam sistem MyVAS dan sistem MySejahtera.

“Ini memudahkan doktor-doktor dan jururawat memberi rawatan dengan lebih cepat kepada jemaah,” katanya kepada petugas media TH di Makkah.

Menurut Ashraf, melalui kaedah ini pihaknya dapat mengatasi gangguan dan rungutan daripada petugas yang sebelum ini gagal untuk mengakses sistem-sistem penting untuk operasi haji.

Artikel Berkaitan:

Ashraf
Ashraf

“Kita jangka jemaah boleh akses sistem ini sebelum akhir minggu ini, insya-ALLAH,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penambahbaikan dalam masalah penempatan jemaah ketika operasi Masyair juga telah dibuat, di mana warga emas yang mempunyai ahli keluarga akan ditempatkan dalam khemah yang sama.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, untuk penginapan jemaah di Masyair setiap keluarga tidak diletakkan dalam khemah yang sama sehingga menimbulkan kerisauan terutama bagi jemaah yang berusia.

“Jadi, pada tahun ini untuk memberi keselesaan kepada jemaah, kita letakkan setiap keluarga berada dalam khemah yang sama. Ini penting untuk jemaah yang memerlukan bantuan ahli keluarga mereka,” ujarnya.