Masyarakat perlu bijak nilai laporan wartawan warga - Pakar
KOTA BHARU - Masyarakat perlu bijak menilai pelaporan berita dihasilkan wartawan warga di platform media baharu kerana adakalanya ia mengandungi berita palsu berbanding media arus perdana yang berlandaskan fakta tepat serta sahih.
Pensyarah Kanan (Kewartawanan) Pusat Kajian Media dan Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia. Dr Shahrul Nazmi Sannusi berkata, pelaporan berita yang dihasilkan wartawan warga juga kadangkala tidak mempunyai kredibiliti.
Beliau berkata ketika ini, media baharu dikuasai sebahagian besar wartawan warga dan orang ramai lebih memilih mempercayai pelaporan berita mereka.
"Oleh itu, media arus perdana perlu bekerja keras dan lebih profesional dalam menghasilkan pelaporan berita serta jangan memberi ruang kepada wartawan warga menghasilkan berita palsu.
"Penulisan berita berasaskan fakta sahih serta beretika berpotensi mempengaruhi fikiran dan keputusan pembaca sekali gus meningkatkan literasi media mereka," katanya kepada Bernama.
Shahrul Nazmi berkata, pelaporan berita yang beretika sebagaimana menjadi pegangan media arus perdana mempunyai objektif, kredibiliti dan sumbernya juga mempunyai latar belakang berlandaskan kepakaran bidang masing-masing.
Sementara itu Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Muhammad Yatimin Abdullah berkata, pelaporan berita wartawan warga kebanyakannya sekadar melihat dalam pelbagai platform media sosial tanpa menilai fakta sebenar sesuatu kejadian.
"Ini boleh menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan netizen berbeza dengan media arus perdana, pelaporan mereka berpandukan kepada sumber dan maklumat selari ‘Konsep 5W 1H’ yang menjadi amalan dalam kewartawanan,” katanya.
Menurut Muhammad Yatimin, sesiapapun pada hari ini boleh menjadi 'wartawan' melalui telefon pintar ditambah lagi dengan media baharu, namun pilihan untuk menjadi pengguna yang bijak terletak di tangan masing-masing.
Mengulas mengenai kod etika baharu yang dilancarkan pada Februari lepas, Muhammad Yatimin berkata, ia memberi nilai tambah kepada media arus perdana dan membimbing pengamal media menegakkan profesionalisme, integriti agar terus dipercayai masyarakat.
Mengenai penganjuran Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 pada 25 hingga 27 Mei di Kuching, Sarawak, Muhammad Yatimin berkata, dua ahli Kemudi akan menghadiri sambutan bertemakan ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ itu.
Pada 27 Mei, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan kemuncak sambutan yang memasuki edisi keempat tahun ini, selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018 dan sambutan berikutnya di Melaka (2022) serta Perak (2023).
Pelbagai program dirangka antaranya Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ serta program Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa merangkumi enam zon iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur, Selatan serta zon Tengah yang akan dilancarkan pada 24 Mei ini oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Hawana 2024 merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 dan bertujuan meraikan sumbangan pengamal media yang berperanan membentuk minda masyarakat bermaklumat selain memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!