Atlet kayak parah dilanggar pemandu mabuk, diseret 600 meter
JOHOR BAHRU - Atlet kayak Malaysia, Siti Nurul Masyitah Elias cedera parah selepas dilanggar dan diseret sejauh 600 meter apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di sini pada Sabtu.
Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang dalam satu kenyataan memberitahu, Nurul Masyitah, 22, yang mengambil jurusan Kejuteraan Mekanikal kini dirawat di Hospital Colombia di sini kerana mengalami kecederaan yang serius.
"Menurut saksi berserta rakaman 'dashcam', kereta terbabit dipandu dalam keadaan melulu sebelum melanggar Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal dan kemudiannya menyeret mangsa sejauh 600 meter.
"Mangsa sering berulang-alik dari Politeknik Ibrahim Sultan ke rumah bagi menjaga ibu bapanya yang sakit.
"Ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan manakala bapa mangsa tidak sihat dan perlukan rawatan dialisis.
"Mohon doakan agar mangsa dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan," menurut persatuan itu pada Selasa.
Siti Nurul Masyitah merupakan Atlet Kayat Dragon Boat Malaysia Bronze Medal SEA Games 2023.
Berdasarkan hantaran yang tular dalam media sosial, dapat dilihat beberapa keping gambar ketika kemalangan yang dikongsi termasuk foto seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek sedang membuat isyarat 'peace'.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
"Satu kenyataan media berkenaan kes ini akan dikeluarkan hari ini," katanya ketika dihubungi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!