KPDN Perak bongkar aktiviti jual kasut tiruan
IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya membongkar kegiatan menjual kasut tiruan jenama terkenal di sebuah premis di Desa Rishah Indah di sini pada Selasa.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan sekitar jam 11.45 pagi itu dilakukan bersama wakil pemilik cap dagangan selepas mendapati premis terbabit dijadikan stor simpanan dan tempat urus niaga secara borong serta dalam talian.
"Pasukan serbuan telah menyita 10,997 pasang kasut, selipar dan stoking berjenama disyaki tiruan yang dianggarkan bernilai RM135,500.
"Hasil siasatan mendapati, kesemua barangan tersebut diperoleh dari negara luar bagi tujuan penjualan borong dan juga melalui platform e-dagang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun yang mengaku sebagai pengurus syarikat telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Tambah Kamalludin, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!