Hampir 30 kereta mini mainan kanak-kanak terbakar
ALOR SETAR - Hampir 30 unit kereta mini mainan kanak-kanak musnah dalam kebakaran berhampiran Menara Alor Setar di sini, pada awal pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 3.50 pagi.
Menurutnya, PGO Kedah telah mengarahkan jentera Fire Rescue Tender (FRT), van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit bermotor bomba dari BBP Alor Setar ke lokasi kejadian dan mereka tiba pada jam 3.54 pagi.
"Pegawai operasi melaporkan sebaik tiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan hampir 30 unit kereta mainan.
"Tindakan yang diambil adalah memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran dua pancutan sehingga tiada lagi punca api di lokasi kebakaran," katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Naufal berkata, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut dan operasi sepenuhnya tamat pada jam 4.45 pagi.
Menurutnya, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihaknya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!