Peniaga didenda RM300,000 seleweng diesel bersubsidi

Ching Huang (tengah) didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu selepas mengaku bersalah menyeleweng diesel bersubsidi dengan memiliki sebanyak 96,542 liter bahan itu tanpa lesen, tahun lalu.
Ching Huang (tengah) didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu selepas mengaku bersalah menyeleweng diesel bersubsidi dengan memiliki sebanyak 96,542 liter bahan itu tanpa lesen, tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu selepas mengaku bersalah menyeleweng diesel bersubsidi dengan memiliki sebanyak 96,542 liter bahan itu tanpa lesen, tahun lalu.

Hakim, Maimoonah Aid juga mengarahkan penjara 12 bulan terhadap Eng Ching Huang, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS), sekiranya gagal membayar denda.

Ching Huang mengaku melakukan kesalahan memiliki barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu bahan api diesel dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.

Perbuatan itu dilakukan di Jeti 2, Lorong Industri Tanah Putih Baru, Tanah Putih di sini, pada 8 Mac tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, OKS telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit atau borong tanpa lesen.

Bagi kesalahan terbabit, tertuduh boleh dihukum di bawah Subseksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2015) yang mana jika disabitkan bersalah boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Syamsul Kahar Ahmad Nadri yang memohon agar tertuduh dikenakan hukuman tinggi dan setimpal.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ini bagi memberi keinsafan dan pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu.

Sementara itu, tertuduh tidak diwakili peguam memohon agar hukuman diringankan atas alasan menjaga ibu bapa yang memerlukan rawatan di hospital, selain mempunyai pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

Pada 10 Mac tahun lalu, media melaporkan KPDN Pahang berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stor penyimpanan tidak berlesen di Tanah Putih Baru di sini.

Ketua Penguatkuasa KPDN Pahang, Muhamad Radzi Johari berkata, rampasan minyak diesel itu adalah yang terbesar direkodkan KPDN Pahang, membabitkan keseluruhan rampasan bernilai RM266,900.

Pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan lokasi turut menemui enam buah ‘skid tank’ atau tangki penyimpanan yang berisi minyak diesel dianggarkan keseluruhannya berjumlah 106,000 liter.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!