[VIDEO] Hampir sejam, jurubahasa baca 43 pertuduhan rasuah pegawai kastam

A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu mengambil masa hampir sejam untuk membacakan 43 pertuduhan terhadap seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) yang didakwa menerima rasuah bernilai hampir RM70,000 antara tahun 2017 hingga 2022.

Tertuduh, Mohammad Zyed Ibrahim, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Penguasa Kastam Gred WK41 yang bertugas di Kastam KLIA, secara rasuah memperoleh suapan untuk dirinya wang keseluruhan bernilai RM69,350.

Wang tersebut diperoleh daripada pemilik sebuah syarikat melalui cara pemindahan dalam talian sebagai dorongan untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu, tidak memeriksa lori-lori milik syarikat terbabit yang membawa keluar barang dari Kargo KLIA.

Mohammad Zyed diiring pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah
Mohammad Zyed diiring pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Kesalahan itu dilakukan antara 16 September 2017 hingga 16 Januari 2022 di sebuah bank di Nilai.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir berkata, pihak pendakwaan membantah jaminan diberikan terhadap tertuduh kerana tindakannya menerima suapan suatu pengkhianatan kepada masyarakat dan memberi imej negatif kepada kastam.

Artikel Berkaitan:

"Kesalahan rasuah juga merupakan kesalahan serius selain tertuduh juga mempunyai risiko untuk melarikan diri.

"Ini kerana tertuduh tidak pernah menghubungi atau menyerah diri kepada SPRM walaupun iklan pencariannya telah dibuat di media tempatan," katanya.

Tambahnya, tertuduh hanya dapat ditahan selepas proses pencarian dilakukan selama 65 hari yang jelas menunjukkan tertuduh tidak memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan dilakukan.

Katanya, tertuduh ditahan di Bintulu, Sarawak pada 7 Mei lalu di rumah ibunya.

Peguam tertuduh, Muhamad Aizat Fakri merayu supaya anak guamnya diberikan jumlah jaminan yang berpatutan atas alasan dia merupakan bapa tunggal kepada seorang anak berusia lima tahun.

Katanya, sebelum ditahan tertuduh bekerja sebagai pemandu grab dengan pendapatan antara RM70 ke RM100 selain perlu menanggung ibu dan abang yang mempunyai penyakit mental.

"Tertuduh memang berasal dari Bintulu, bukannya melarikan diri ke sana dan tujuannya ke sana adalah untuk menggalas tanggungjawab menjaga ibu dan abangnya yang kurang sihat,"katanya.

Hakim kemudiannya menerima hujahan pihak pendakwaan yang tertuduh berisiko melarikan diri dan berikutan itu beliau tidak membenarkan jaminan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!