[VIDEO] PM arah tanam semula 100 pokok baharu ganti setiap pohon ditebang
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh untuk menanam semula 100 pokok baharu bagi menggantikan satu pohon yang ditebang.
"Saya telah memberi arahan kepada Datuk Bandar iaitu bagi setiap pohon yang terpaksa dipotong, 100 pokok baharu wajib ditanam semula," katanya menerusi satu hantaran di Aplikasi X pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk segera mengambil tindakan menebang pokok berisiko tinggi.
Menurutnya, penambahbaikan Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia atau berisiko tinggi sedang berada dalam proses yang dijangka siap pada Julai ini bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
Dalam pada itu, DBKL juga dilaporkan telah melantik kontraktor di setiap kawasan Parlimen di ibu negara untuk mengenal pasti dan menebang pokok-pokok tua yang berbahaya sejak awal Januari lalu demi keselamatan orang ramai.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, setiap kontraktor itu juga diwajibkan melantik pakar pokok untuk menentukan pokok-pokok yang berisiko tinggi tumbang seperti mengalami kereputan akar dan wajar ditebang.
Pada Isnin, satu kejadian pokok tumbang di ibu negara dengan terbaharu dilaporkan berlaku di hadapan Kuwait Bank berdekatan Jalan Pinang susulan hujan lebat ketika itu.
Difahamkan, beberapa buah kenderaan turut dihempap pokok dalam kejadian terbabit tetapi ia tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Pada 7 Mei lalu, negara dikejutkan dengan kejadian pokok berusia lebih 50 tahun tumbang akibat hujan lebat serta angin kencang yang meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!