'Anak harapan saya sudah tiada'

Zulkiflee menunjukkan gambar Mohamad Amir Izzudin di telefon bimbitnya.
Zulkiflee menunjukkan gambar Mohamad Amir Izzudin di telefon bimbitnya.
A
A
A

DUNGUN - Bapa kepada seorang mangsa lemas di Pantai Teluk Bidara di sini terkilan kerana tidak sempat melihat anaknya beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) di Johor pada Jun ini.

Zulkiflee Zakaria, 51, berkata, anaknya, Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, 21, yang berasal dari Air Keroh, Melaka merupakan atlet silat olahraga Melaka.

Menurutnya, Mohamad Amir Izzudin merupakan anak sulung dalam keluarga dan mempunyai seorang adik, Nur Farah Adibah, 14.

"Rasa terkilan, sebak dan sayu ada sebab dia bersungguh-sungguh mahu mewakili Melaka dalam Sukma nanti.

"Banyak pencapaian yang dia telah peroleh sepanjang bergiat aktif dalam sukan dan dia sememangnya anak harapan keluarga ini," katanya.

Zulkiflee berkata, dia mendapat tahu kejadian menimpa anaknya setelah menerima panggilan daripada ibu kepada rakan anaknya itu.

"Selepas ibu rakan Mohamad Amir Izzudin memberitahu kejadian ini, kami sekeluarga bergegas dari Ayer Keroh, Melaka ke sini.

"Perjalanan ke sini mengambil masa selama tujuh jam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Zakaria, sebelum ini dia pernah menasihati anaknya itu supaya tidak mandi-manda di pantai.

"Walaupun dia pandai berenang, saya ada nasihatkan dia supaya tidak mandi jika ombak kuat.

"Saya memang tak sangka sampai jadi macam ni," katanya.

Zulkiflee sayu mengenangkan anaknya yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Bidara petang semalam.
Zulkiflee sayu mengenangkan anaknya yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Bidara petang semalam.

Menurutnya, dia ada terbaca status terakhir menerusi pesanan mudah alih WhatsApp anaknya yang berbunyi 'rest time' yang dimuat naik pada jam 6.16 petang semalam.

"Waktu baca status tu saya berasa tidak sedap hati tetapi saya tetap positif mungkin dia hanya mahu tenangkan hati dan hilangkan tekanan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Rest time' status terakhir Amir sebelum tenggelam

Zulkiflee berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya itu malam sebelum kejadian.

"Dia beritahu mahu pulang ke rumah pada 23 Januari depan dan meminta saya membelikannya tiket," katanya.

Mohamad Amir Izzudin bersama tiga lagi rakan, Muhammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, Muhammad Zul Fahmi Zuki dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Teluk Bidara petang semalam.

Dalam kejadian itu, dua lagi mangsa iaitu Muhammad Hazman Muhammad Zamili, 21, dan Muhammaf Irfan Kamarulzaman, 21, terselamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!