Jumlah jawatan meningkat 1.5 peratus kepada 8.94 juta - DOSM

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah jawatan pada suku tahun pertama 2024 (ST1 2024) meningkat sebanyak 1.5 peratus dari tahun ke tahun kepada 8.94 juta jawatan, iaitu rekod tertinggi sejak 2018, menurut Statistik Guna Tenaga bagi ST1 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan pada Rabu berkata, pada suku tahun pertama 2023 (ST1 2023), jumlah jawatan yang dicatatkan adalah sebanyak 8.81 juta.

Katanya, peningkatan dalam bilangan jawatan berkenaan menunjukkan permintaan buruh di Malaysia dijangka semakin menggalakkan pada 2024, selari dengan ekonomi Malaysia yang diramalkan berkembang pada kadar yang lebih cepat iaitu daripada empat hingga lima peratus berikutan permintaan luar dan pelaburan yang lebih besar.

Mengulas situasi jawatan mengikut aktiviti ekonomi, Mohd Uzir berkata, bilangan jawatan diisi berada pada trend menaik dengan prestasi tahun ke tahun meningkat sebanyak 1.5 peratus daripada 8.61 juta pada ST1 2023 kepada 8.75 juta pada ST1 2024.

"Sementara itu, bilangan kekosongan jawatan pada suku tahun ini terus berada pada trend menurun, dengan penurunan marginal sebanyak 0.4 peratus kepada 191,900 kekosongan jawatan (ST1 2023: 192,600),” katanya.

Beliau berkata, bilangan jawatan diisi kekal stabil selari dengan perkembangan situasi ekonomi semasa dengan sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada 4.0 peratus, diikuti perkhidmatan (1.8 peratus) dan pembuatan (1.1 peratus).

"Berdasarkan perincian jawatan diisi mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan merupakan komposisi terbesar yang merangkumi 52.7 peratus atau bersamaan dengan 4.61 juta, diikuti pembuatan (26.9 peratus/2.35 juta) dan pembinaan (14.2 peratus/1.24 juta).

"Daripada jumlah jawatan diisi, kategori separuh mahir mendahului dengan 5.48 juta jawatan (62.7 peratus), diikuti oleh mahir dengan 2.19 juta (25.1 peratus) dan berkemahiran rendah dengan 1.07 juta (12.2 peratus),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada ST1 2024 juga, Mohd Uzir berkata, terdapat 32,100 pewujudan jawatan iaitu meningkat sebanyak 1.3 peratus berbanding 31,700 pada ST1 2023.

Bagi perincian mengikut kategori kemahiran, kategori separuh mahir merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 61.9 peratus dengan 19,900 jawatan, diikuti oleh mahir dan berkemahiran rendah masing-masing pada kadar 27.6 peratus (8,900 jawatan) dan 10.5 peratus (3,400 jawatan). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!