Air terjun Jeram Pasu, Jeram Linang kering

Keadaan Jeram Pasu yang kering susulan cuaca panas serta taburan hujan yang kurang menyebabkan timbunan pasir jelas kelihatan. Foto Bernama
Keadaan Jeram Pasu yang kering susulan cuaca panas serta taburan hujan yang kurang menyebabkan timbunan pasir jelas kelihatan. Foto Bernama
A
A
A

PASIR PUTEH - Cuaca panas dan kemarau yang berterusan sejak Februari lepas turut memberi kesan terhadap beberapa kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun di negeri ini termasuk Jeram Pasu dan Jeram Linang yang terletak di jajahan Pasir Puteh.

Tinjauan Bernama di dua kawasan berkenaan mendapati air terjun yang menjadi tumpuan orang ramai itu kering dan kelihatan hanyalah beting pasir dan lopak air keruh di beberapa kawasan.

Penghulu Mukim Telipot Muhd Zali Mat Daud, 57, berkata, keadaan itu berlaku lebih sebulan lepas menyebabkan kawasan berkenaan tidak lagi dikunjungi orang ramai.

"Sebelum ini, ramai penduduk kampung mengambil kesempatan mandi-manda di Jeram Pasu dan Jeram Linang kerana beberapa kawasan di sekitar mukim ini mengalami gangguan bekalan air.

"Namun, air di pusat rekreasi ini semakin berkurangan sejak hujung bulan lepas dan keadaan semakin kering awal bulan ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Muhd Zali, peniaga juga terpaksa menutup operasi gerai masing-masing kerana kawasan itu sunyi sepi tanpa pengunjung.

Kawasan berkenaan katanya, tidak pernah "sekering" itu sebelum ini walaupun pada musim kemarau.

"Selalunya tidaklah sampai ke tahap begini. Tahun ini, cuaca panas agak luar biasa dan dalam tempoh yang agak lama menyebabkan air kering dan yang ada hanyalah beting pasir sekali gus menjejaskan sektor pelancongan di kawasan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pengunjung dari Terengganu Rosnizah Zakaria, 47, berkata, dia bersama beberapa rakannya terpaksa membatalkan hasrat untuk menikmati keindahan panorama dan menyegarkan diri di lokasi rekreasi itu selepas mendapati air di kawasan itu telah kering.

"Kita harap cuaca panas yang dialami ini akan segera berlalu dan lokasi pelancongan ini kembali meriah dan dikunjungi ramai selepas keadaan pulih seperti biasa," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!