Kertas siasatan bagasi berisi RM500,000 dirujuk ke Bukit Aman
SHAH ALAM - Kertas siasatan berkaitan penemuan bagasi mengandungi wang tunai berjumlah RM500,000 di parkir kenderaan sebuah pusat beli-belah di Damansara, 20 Mac lalu akan dirujuk kepada Bukit Aman dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan tersebut dibuat bagi mendapatkan rujukan berkaitan perundangan melibatkan kes terbabit sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
"Sebelum ini ada individu yang tampil mendakwa wang tunai berkenaan miliknya, bagaimanapun dia tidak boleh memberikan satu bukti kukuh berkaitan sumber wang berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi dialog bersama masyarakat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Katanya, setakat ini lebih 10 individu telah dirakam keterangan berhubung kejadian.
"Setakat ini seorang individu iaitu pengarah sebuah syarikat tampil mendakwa wang berkenaan miliknya.
"Selain individu terbabit, beberapa individu lain turut dirakam keterangan termasuk saksi di lokasi kejadian yang menemukan wang itu," katanya.
Pada 24 April lalu, polis memaklumkan tiada had masa ditetapkan berkaitan tuntutan wang tunai berkenaan.
Media pada 21 Mac lalu melaporkan, satu bagasi berisi wang lebih RM500,000 ditemukan di tempat meletak kenderaan di sebuah pusat beli-belah oleh pengawal keselamatan di pusat berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!